
PUTRAJAYA, 21 September – Caj penyertaan Bazar Deepavali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 diturunkan kira-kira 85 peratus kepada maksimum RM400 termasuk cagaran, berbanding RM2,626 tahun lalu.
- Caj diselaraskan dengan bazar Ramadan untuk kurangkan kos perniagaan kepada penjaja.
- Tempoh berniaga dipanjangkan daripada 21 hari kepada 30 hari, memberi peluang berniaga lebih lama.
- DBKL ingatkan peniaga berurusan terus untuk elak caj pihak ketiga; Malaysia Hindu Sangam dilibatkan sebagai inisiatif rintis.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kadar itu diselaraskan dengan caj bazar ramadan sebagai sebahagian usaha kerajaan mengurangkan kos menjalankan perniagaan kepada penjaja di ibu negara.
“Fokus kita senang sahaja, kita hendak turunkan kos untuk penjaja, beri tempoh berniaga yang lebih panjang kepada mereka. Tahun ini kita buka peluang untuk mereka berniaga, tempoh berniaga dipanjangkan daripada 21 hari kepada 30 hari”, katanya pada Sidang Media Bazar Deepavali 2026 di Putrajaya.
Berdasarkan kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jumlah RM400 itu merangkumi fi lesen RM30, caj perkhidmatan RM150, sewa tapak RM150 dan cagaran RM70.
Hannah turut mengingatkan peniaga supaya berurusan secara terus dengan DBKL bagi mengelakkan mereka dikenakan caj lebih tinggi oleh pihak ketiga atau orang tengah.
Menurutnya, Malaysia Hindu Sangam Wilayah Persekutuan turut dilibatkan buat pertama kali bagi membuka ruang kepada peniaga baharu, termasuk mereka yang belum pernah menyertai Bazar Deepavali sebelum ini.
Kerjasama itu dilaksanakan sebagai inisiatif rintis dan akan dinilai DBKL sebelum bentuk kerjasama seterusnya ditentukan.
Sebanyak 172 ruang perniagaan disediakan tahun ini berbanding 164 pada 2025, melibatkan 122 petak di tempat letak kenderaan Kompleks Tun Sambanthan, 20 petak di Jalan Bunus 6, Masjid India serta kira-kira 30 ruang promosi bagi premis perniagaan.
Konsep Mega Bazar Deepavali turut diperkenalkan bagi memusatkan aktiviti perniagaan, membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan aspek keselamatan serta memudahkan pengurusan operasi.