
PUTRAJAYA, 21 September – Jumlah hujan terkumpul sehingga 155.5 milimeter yang direkodkan di kawasan tadahan sekitar Ampang dan Lembah Keramat dikenal pasti antara punca berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, semalam.
- Hujan lebat berlaku kira-kira 3.30 hingga 5.00 petang, menyebabkan aliran permukaan meningkat dan mencetuskan banjir kilat.
- Sungai Klang, Sungai Bunus dan Sungai Kerayong di Razak Mansion merekodkan paras pada tahap bahaya ketika kejadian.
- Kawasan terjejas termasuk Jalan Pudu berhampiran Hospital Tung Shin, Jalan Genting Klang, Jalan Sultan dan Kampung Bharu.
- Bilik Gerakan DBKL memaklumkan kebanyakan kejadian melibatkan air bertakung singkat antara 15 hingga 30 minit.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, hujan lebat berlaku antara kira-kira pukul 3.30 hingga 5.00 petang dengan bacaan tertinggi direkodkan di Lembah Keramat.
Jumlah itu jauh melebihi bacaan hujan biasa sekitar 30 milimeter.
Selain Lembah Keramat, Kampung Berembang merekodkan 145.5 milimeter, manakala stesen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ampang mencatatkan 133.5 milimeter hujan terkumpul.
“Hujan terkumpul yang tinggi di kawasan tadahan Ampang dan Lembah Keramat telah mengakibatkan aliran air permukaan serta paras sungai di kawasan hilir naik”, katanya dalam sidang media di sini.
Beliau berkata, Sungai Klang di Lembah Keramat, Sungai Bunus dan Sungai Kerayong di Razak Mansion antara yang merekodkan paras pada tahap bahaya ketika kejadian.
Antara kawasan terjejas termasuk Jalan Pudu berhampiran Hospital Tung Shin, Jalan Genting Klang, Jalan Sultan, Kampung Periuk, Kampung Bharu, Flat PKNS Jalan Tun Razak, Jalan Yap Kwan Seng dan Seksyen 10 Wangsa Maju.
Bagaimanapun, berdasarkan maklumat Bilik Gerakan DBKL, kejadian di Kuala Lumpur kebanyakannya melibatkan air bertakung dalam tempoh singkat antara 15 hingga 30 minit.