
KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Kampung Budaya Terengganu terus diperkasa menerusi penyerahan projek pembinaan dan naik taraf di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, sekali gus dijangka merancakkan sektor pelancongan budaya negeri.
- Projek bernilai RM5.5 juta dilaksanakan sebagai inisiatif strategik menyokong Tahun Melawat Terengganu 2027.
- Skop kerja merangkumi pembinaan bangunan baharu, bangunan sokongan, saliran pembentungan, bekalan air dan naik taraf rumah nelayan ikonik.
- Sokongan Persekutuan: RMK-12 lulus 76 projek melebihi RM31 juta; RMK-13 lulus 9 projek melebihi RM22 juta.
Projek bernilai RM5.5 juta itu merupakan antara inisiatif strategik bagi menyokong sasaran Tahun Melawat Terengganu 2027.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, projek yang bermula pada 24 Mei 2023 itu merangkumi pembinaan bangunan baharu, bangunan sokongan, sistem saliran pembentungan serta bekalan air.
Menurut beliau, ia turut melibatkan kerja-kerja menaik taraf beberapa struktur ikonik termasuk rumah nelayan yang menjadi identiti utama Kampung Budaya.
“Dalam masa sama, kita melaksanakan penyerahan projek yang telah disiapkan termasuk sebuah dewan di bawah projek penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur pelancongan.
“Kita berharap pemilik projek iaitu pihak Kampung Budaya dapat memelihara serta menyelenggara kemudahan yang telah siap dengan baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan projek berkenaan.
Tambah beliau, dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan Persekutuan telah meluluskan 76 projek di Terengganu dengan jumlah peruntukan melebihi RM31 juta.
Bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pula, sehingga April lalu, sebanyak sembilan projek telah diluluskan dengan peruntukan lebih RM22 juta.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata, Kampung Budaya terus menerima maklum balas positif daripada pengunjung.
Penaiktarafan tersebut dijangka mengukuhkan peranan Kampung Budaya sebagai antara tarikan utama pelancongan berasaskan warisan di Terengganu.