Gagasan Rumpun Selangor diperkenal, fokus pembangunan inklusif dan kelestarian komuniti

Tumpu kelestarian komuniti serta pembangunan kesejahteraan rakyat

SHAH ALAM, 5 Mei – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, berkenan melancarkan Gagasan Rumpun Selangor Tahun 2026 menerusi acara menandatangani plak serta gimik pelancaran di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gagasan menyatupadukan rakyat melalui projek infrastruktur "projek angkat" bagi memastikan manfaat kemajuan ekonomi Selangor dinikmati saksama.
  • Program Gagasan Rumpun Selangor di Petaling menumpukan kelestarian komuniti serta pembangunan kesejahteraan rakyat.
  • Geran padanan melalui Selangor Youth Community disediakan untuk membiayai penambahbaikan fasiliti awam setiap daerah.
  • Kompleks Ibu Pejabat JKR baharu simbol komitmen kepada infrastruktur awam moden dan lestari; teknologi solar berjimat dan akan diperluas ke empat pejabat.

Gagasan tersebut merupakan aspirasi kerajaan negeri bagi menyatupadukan rakyat melalui pelaksanaan projek infrastruktur sebagai “projek angkat”, selain memastikan kemajuan ekonomi Selangor yang menyumbang 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dapat dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Program Gagasan Rumpun Selangor di daerah Petaling merupakan hentian kedua dalam siri jelajah tahun ini yang memberi tumpuan kepada kelestarian komuniti serta pembangunan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, Raja Muda Selangor turut memperkenalkan geran padanan melalui Selangor Youth Community bagi membolehkan setiap daerah menerima manfaat penambahbaikan fasiliti awam.

Antara projek yang dikenal pasti di daerah Petaling termasuk pembangunan denai hijau di SS7 Kelana Jaya serta pembangunan hab komuniti usahawan di Bukit Lanchong.

Sebelum itu,Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor di Shah Alam.

Ketibaan baginda seawal pukul 7.30 pagi disambut oleh Menteri Besar Selangor, barisan Speaker Dewan Negeri Selangor, EXCO negeri serta pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

Majlis dimulakan dengan perasmian Kompleks Ibu Pejabat JKR Selangor baharu yang bernilai RM36 juta, sebagai simbol komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa infrastruktur awam moden dan lestari.

Kompleks berkenaan turut dilengkapi teknologi tenaga solar termasuk di kawasan parkir berbumbung, yang telah menjimatkan kos elektrik jabatan sebanyak RM128,000 pada tahun lalu. Inisiatif hijau itu akan diperluaskan ke empat pejabat JKR daerah lain pada tahun ini.