
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan dipersetujui untuk terus dikekalkan bagi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat di negeri itu.
- Majlis menegaskan sebarang keputusan negeri yang berpotensi mencetuskan sensitiviti mesti dirujuk kepada Majlis Perundingan terlebih dahulu.
- Kedua-dua pihak menghormati keputusan Biro Politik parti masing-masing berhubung isu yang timbul di Negeri Sembilan.
- Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- Mesyuarat diadakan susulan kemelut politik selepas 14 ADUN BN dilaporkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Perkara tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan kedua-dua parti.
Dalam kenyataan bersama, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa sebarang keputusan kerajaan negeri yang berpotensi mencetuskan sensitiviti perlu dirujuk terlebih dahulu kepada majlis berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak turut menghormati keputusan Biro Politik parti masing-masing berhubung isu yang timbul di Negeri Sembilan.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ia diadakan susulan kemelut politik di Negeri Sembilan selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) dilaporkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Perkembangan itu dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara.