
BERTAM, PULAU PINANG, 5 Mei – Konflik yang berlarutan di Asia Barat membuka peluang baharu kepada Pulau Pinang untuk menarik lebih banyak persidangan antarabangsa apabila penganjur kini mencari lokasi alternatif.
- Pembatalan beberapa acara perniagaan di Dubai dan Qatar serta kos penerbangan tinggi menjadikan penganjur mencari lokasi alternatif.
- Kerajaan negeri melalui PCEB memperkukuh bidaan dan kerjasama dengan industri pelancongan, hotel dan pusat konvensyen untuk tawaran pakej kompetitif.
- Fasiliti moden seperti Setia SPICE, PICA dan PWCC serta rekod lebih 3,000 acara tahun lalu mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang dalam sektor MICE.
Situasi itu berlaku susulan pembatalan beberapa acara perniagaan di rantau berkenaan termasuk di Dubai dan Qatar, selain faktor kos penerbangan yang tinggi.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, kerjasama bersama pemain industri pelancongan, hotel dan pusat konvensyen sedang diperkukuh bagi menawarkan pakej lebih kompetitif.
Menurut beliau, menerusi Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB), kerajaan negeri giat membida persidangan antarabangsa tersebut untuk dianjurkan di Pulau Pinang.
“Tahun ini dan tahun depan, banyak persidangan di Asia Barat dibatalkan kerana faktor keselamatan dan kos. Jadi kita akan cuba membawa persidangan ini ke Pulau Pinang melalui PCEB,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pengarah Urusan Maritime Waterfront Suites Sdn Bhd di Bertam Resort & Water Park.
Tahun lalu, Pulau Pinang merekodkan lebih 3,000 acara perniagaan, dan angka itu dijangka meningkat tahun ini dengan sokongan fasiliti moden seperti Setia SPICE Convention Centre, PICA Convention Centre di Butterworth serta Penang Waterfront Convention Centre (PWCC).
Perkembangan ini dijangka terus mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi utama sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) di rantau ini.