fb fb fb fb fb

Diskaun saman 70% : Polis Selangor kutip RM19.5 juta

Gambar arkib Bernama

SHAH ALAM, 31 Disember — Polis Selangor merekodkan kutipan kompaun saman trafik berjumlah RM19.51 juta sepanjang pelaksanaan Program Diskaun Saman PDRM 70 peratus Kontinjen Selangor dari 1 November hingga 30 Disember 2025.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, sebanyak 258,345 keping saman berjaya diselesaikan dalam tempoh dua bulan pelaksanaan program berkenaan di semua kaunter Trafik COPS di negeri itu.

“Daripada jumlah tersebut, 125,759 saman melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 257 Kanun Jalan Raya dengan nilai kutipan RM11.49 juta, manakala 132,586 saman di bawah Seksyen 170A mencatatkan kutipan RM8.01 juta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, prestasi kutipan tertinggi mengikut daerah direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dengan jumlah RM2.7 juta, diikuti IPD Petaling Jaya (RM2.1 juta) dan IPD Kajang (RM1.7 juta).

Shazeli berkata, pihaknya turut melihat trend positif dalam penerimaan teknologi digital oleh orang ramai apabila pembayaran secara e-pembayaran merekodkan kutipan RM9.45 juta, berbanding pembayaran tunai berjumlah RM10.05 juta.

“Perkembangan ini membuktikan masyarakat kini semakin cenderung kepada urusan yang pantas dan efisien, selari dengan agenda transformasi digital negara,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif pengurangan kompaun itu bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan rakyat, malah berperanan meningkatkan tahap kesedaran serta pematuhan terhadap undang-undang jalan raya demi keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya di Selangor.

GRACE AISYAH KEDAYAN