KUALA LUMPUR, 31 Disember- Malaysia bakal menyaksikan pelaksanaan beberapa dasar dan inisiatif baharu yang dijangka membawa perubahan ketara kepada landskap ekonomi negara, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Antara langkah utama ialah pelaksanaan Pelarasan Gaji Fasa 2 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan bermula pada tarikh berkenaan.
Menerusi pelarasan itu, penjawat awam dalam kategori Pengurusan Tertinggi akan menerima kenaikan gaji sebanyak tiga peratus, manakala kumpulan Pengurusan Profesional dan Pelaksana pula menikmati kenaikan sebanyak tujuh peratus.
Bayaran pelarasan gaji tersebut dijadualkan dibuat pada 22 Januari 2026, sekali gus memberi peningkatan pendapatan yang signifikan kepada penjawat awam.
Selain itu, kerajaan turut meluaskan pelaksanaan mandatori sistem e-Invois melibatkan perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, yang akan bermula pada 1 Januari 2026.
Bagi perniagaan dengan jualan tahunan sehingga RM1 juta, pelaksanaan e-Invois akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.
Dalam perkembangan lain, Malaysia juga akan menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negara, khususnya dalam sektor pelancongan.
Kempen TMM2026 menyasarkan ketibaan 35.6 juta pelawat antarabangsa dengan potensi penjanaan nilai ekonomi mencecah RM147.1 bilion, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan di peringkat global.
Inisiatif berkenaan dijangka merangsang pemulihan permintaan global serta meningkatkan mobiliti serantau, merangkumi sektor penerbangan, hospitaliti, runcit, makanan dan minuman, serta perkhidmatan berkaitan.
Usaha itu juga dijangka memberi manfaat secara langsung kepada peniaga kecil, usahawan tempatan dan komuniti setempat di seluruh negara.