fb fb fb fb fb

RTM World 2026: RTM perkasa kandungan berita dwibahasa ke pentas dunia

Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM)

KUALA LUMPUR, 31 Disember — Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi Bahagian Berita Ehwal Semasa (BES) menyasarkan untuk memperkukuh kedudukan RTM World pada tahun hadapan, seiring momentum kejayaan dan prestasi cemerlang yang dicapai sepanjang 2025.

Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa, Md Shahri Saripan berkata tahun 2026 akan dimanfaatkan sepenuhnya melalui pelbagai pendekatan strategik.

Antaranya penghasilan kandungan berkualiti bertaraf global, liputan yang lebih dinamik serta pengukuhan platform digital bagi memenuhi keperluan semasa.

“Perancangan kita dibuat ke arah RTM World tahun hadapan. Kita akan adakan slot RTM World di saluran berita bermula 1 April sebagai usaha mengangkat Malaysia ke pentas dunia, tanpa meminggirkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan,” katanya ketika ditemui di Angkasapuri Kota Media hari ini.

Beliau berkata pendekatan dwibahasa itu penting bagi memastikan kandungan RTM dapat difahami rakyat tempatan dan antarabangsa, sekali gus memperluas capaian maklumat mengenai Malaysia di peringkat global.

Md Shahri turut menjelaskan penghasilan kandungan berbentuk mikro atau micro-content menjadi antara kekuatan utama BES, khususnya menerusi platform digital seperti TikTok yang menunjukkan penerimaan positif dan capaian tinggi dalam kalangan pengguna.

“Daripada platform konvensional, kita sudah mampu menterjemahkan kandungan ke platform dalam talian supaya setiap berita dapat disampaikan dengan lebih mudah, cepat dan ringkas,” katanya.

Mengulas pencapaian 2025, Md Shahri menyifatkan tahun ini sebagai detik penting yang membuktikan keupayaan luar biasa warga RTM dalam mengendalikan pelbagai acara rasmi di peringkat serantau dan antarabangsa.

Antaranya Sidang Kemuncak ASEAN serta Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Kejayaan terbesar ialah penerbitan program siaran langsung Grand Stand secara dwi bahasa, bukan sahaja untuk liputan dalam negara tetapi turut disiarkan ke luar negara seperti Amerika Syarikat, China dan Jepun,” katanya.

Menurut beliau, penganjuran acara berskala antarabangsa yang jarang berlaku itu membuktikan tahap profesionalisme dan pengalaman warga kerja RTM.

Ini sekali gus mengukuhkan peranan RTM sebagai agensi media rasmi kerajaan yang relevan dan unggul.

GRACE AISYAH KEDAYAN