KUCHING, 31 Disember — Beberapa kawasan rendah di sekitar Kuching diramal dilanda banjir bermula hari ini hingga 11 malam esok, susulan hujan berterusan dan kenaikan paras air sungai ke tahap berbahaya.
Menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), amaran banjir itu melibatkan kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Lembangan Sungai Sarawak dan Sungai Batang Kayan.
Antara kawasan terlibat di sekitar Lembangan Sungai Sarawak ialah Hospital Umum Sarawak, Jalan McDougall, Jalan Matang, Kampung Sungai Beduan, Jalan Kwong Lee Bank, Jalan Mendu, Jalan Tong Wei Tah, Jalan Ong Tiang Swee, Jalan Liu Shan Bang, Jalan Penrissen, Kampung Sinar Budi Baru, Taman Desa Wira, Jalan Ketitir, Jalan Burung Lilin, Jalan Sungai Tengah, Jalan Tabuan, Padang Merdeka, Kampung Buso dan Kampung Segong.
Bagi kawasan Lembangan Sungai Batang Kayan pula, kawasan rendah sekitar Kampung Stunggang Melayu Baru, Kampung Stunggang Melayu Lama, Kampung Semunin, Kampung Dagang, Pekan Lundu, Kampung Seling Melayu, Kampung Sileng Dayak, Kampung Sungai Lundu dan Kampung Seketi turut dijangka terjejas.
Tambah PRABN, banjir berkemungkinan berlaku lebih awal atau lewat daripada jangkaan.
"Orang ramai terutama penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana," menurutnya.