KUALA LUMPUR, 31 Disember — Sektor swasta akan menikmati cuti umum sempena Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan yang diwartakan pada 1 Februari 2026.
- Cuti Hari Wilayah Persekutuan adalah wajib untuk majikan sektor swasta di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
- Cuti itu diwartakan menurut Seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 dan tidak boleh digantikan.
- Kerana Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada Ahad, cuti gantian diberikan pada Isnin kepada pekerja yang rehat Ahad.
- Jika Thaipusam bertindih, majikan perlu beri cuti gantian pada hari bekerja berikutnya, contohnya Selasa.
- Pekerja yang diarahkan bekerja pada cuti umum berhak menerima kadar gaji cuti umum mengikut Seksyen 60D(3).
Jabatan Tenaga Kerja berkata cuti Hari Wilayah Persekutuan adalah cuti wajib yang perlu diberikan oleh majikan sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menurut Jabatan itu, pewartaan itu selaras dengan Seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 [Akta 265] dan tidak boleh diganti.
“Memandangkan Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada hari Ahad, majikan yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat mingguan pekerja hendaklah memberikan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya iaitu Isnin.
“Selain itu, majikan yang memilih Hari Thaipusam sebagai baki enam hari kelepasan am perlu memberikan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya iaitu Selasa, berikutan pertindihan kedua-dua hari kelepasan am berkenaan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Tambah kenyataan itu, majikan juga boleh memberikan mana-mana hari lain sebagai hari kelepasan berbayar sebagai ganti tertakluk kepada persetujuan pekerja, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 60D(1A) Akta Kerja 1955.
Menurut kenyataan itu, pekerja yang diarahkan bekerja pada hari kelepasan am layak menerima kadar gaji bagi cuti umum seperti ditetapkan di bawah Seksyen 60D(3) akta yang sama.