Erdogan bimbang provokasi, sabotaj gugat gencatan senjata AS-Iran

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan / REUTERS

ANKARA, 9 April -Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Rabu memberi amaran berhubung kemungkinan ancaman provokasi dan sabotaj terhadap perjanjian gencatan senjata antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Erdogan menggesa perjanjian damai berkekalan dengan Iran dalam perbualan telefon bersama Presiden AS Donald Trump.
  • Beliau menyeru penggunaan tempoh dua minggu selepas 40 hari ketegangan untuk mencapai perjanjian damai kekal.
  • Turkiye menekankan proses tidak harus dikompromi dan memberi sokongan penuh bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata.
  • Kerajaan menghantar tiga trak bantuan perubatan ke Iran, membawa 60 palet, selaras dasar bantuan kemanusiaan Turkiye.

Dalam satu hantaran di X bagi menyambut baik perjanjian saat akhir itu, Erdogan berkata

“Kami berharap gencatan senjata ini akan dilaksanakan sepenuhnya di lapangan tanpa memberi sebarang ruang kepada kemungkinan provokasi dan sabotaj.”

Erdogan dalam satu perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari AS, Donald Trump, menggesa agar “perjanjian damai yang berkekalan” dicapai dengan Iran.

“Ruang peluang selama dua minggu ini, yang dibuka selepas 40 hari ketegangan memuncak dan penderitaan di seluruh dunia, harus digunakan untuk mencapai perjanjian damai yang kekal,” kata Erdogan kepada Trump dalam kenyataan tersebut.

Beliau turut menyeru agar “proses berkenaan tidak dikompromi dalam apa jua keadaan sekalipun” dan menyatakan Turkiye akan memberikan sokongan penuh bagi memastikan perkara itu terlaksana.

Turkiye, meskipun merupakan pengkritik hebat Israel, telah menyertai usaha diplomatik bersama Mesir dan Pakistan untuk mencapai gencatan senjata dalam konflik berkenaan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Kemal Memisoglu mengumumkan bahawa Turkiye telah menghantar tiga trak bantuan perubatan ke Iran.

“Trak kami, yang dimuati dengan bekalan dan peralatan perubatan, telah bertolak ke negara jiran, Iran,” kata Memisoglu di X sambil menyatakan matlamat Ankara adalah untuk “mengubat luka” golongan yang “tertindas”.

Jurucakap kementerian kesihatan memberitahu AFP bahawa trak berkenaan membawa “sejumlah 60 palet” bantuan, selaras dengan dasar Turkiye selama dua dekad yang menyalurkan bantuan kemanusiaan secara besar-besaran ke Asia Barat, Afrika, dan Asia sebagai instrumen kuasa lunak (soft power).

Bagaimanapun, kementerian tersebut tidak mendedahkan sama ada terdapat trak tambahan akan dihantar ke Iran dalam masa terdekat. – AFP