Labuan disasarkan jadi pusat inovasi, pemacu ekonomi serantau

Pelabuhan Labuan/BERNAMA

LABUAN, 8 April- Kerjasama antara agensi kerajaan dan pemain industri menjadi tumpuan bagi merangka penyelesaian inovatif, khususnya dalam pembangunan infrastruktur, projek komuniti dan model pembiayaan baharu di Labuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat sektor utama dipilih: minyak dan gas, perkhidmatan kewangan, pelancongan dan industri makanan sebagai pemacu pertumbuhan Labuan.
  • Usaha ditumpukan mewujudkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kos logistik tinggi melalui pembangunan industri tempatan.
  • Pendekatan peraturan perlu berubah dari perlindungan kekayaan semata kepada menyokong pembangunan ekonomi serantau dan menyesuaikan dengan landskap global.
  • Lawatan rasmi dan perbincangan dijangka menjadi pemangkin kepada inisiatif inovasi, menjadikan Labuan pusat penghasilan idea baharu.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata empat sektor utama dikenalpasti sebagai pemacu pertumbuhan Labuan iaitu sektor minyak dan gas, perkhidmatan kewangan, pembangunan industri pelancongan serta industri berkaitan makanan.

Jelas beliau, usaha turut akan ditumpukan kepada mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta menangani cabaran kos logistik yang tinggi melalui pembangunan industri tempatan.

“Labuan berpotensi diperkasa dengan pelbagai usaha inovasi dalam pengurusan bandar dan pembangunan pulau.

“Lawatan ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif inovasi, sekali gus meletakkan Labuan sebagai sebuah pusat yang sinonim dengan penghasilan idea-idea baharu,” katanya.

Menurut Liew, beberapa isu lama berkaitan industri dan peraturan sedia ada telah dibincangkan, di samping keperluan Labuan menyesuaikan hala tuju dengan perubahan landskap ekonomi global.

Pendekatan lama yang memberi tumpuan kepada perlindungan kekayaan semata-mata perlu diperluas kepada peranan yang lebih besar termasuk menyokong pembangunan ekonomi serantau.

Beliau optimis bahawa hasil lawatan dan perbincangan tersebut mampu membuka lembaran baharu kepada pembangunan Labuan sebagai pusat inovasi dan ekonomi serantau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Labuan termasuk melawat beberapa lokasi industri ekonomi dan sektor minyak dan gas di pulau itu.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui dan Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh.