BANGI, 1 Mac -Kira-kira 200 orang penunggang motosikal menerima manfaat isi minyak percuma anjuran Yayasan Kolej Islam Selangor (KUIS) di stesen Petronas Bandar Seri Putra di sini.
Majlis disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS) merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KUIS; Prof Madya Datuk Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah.
Yayasan KUIS menganjurkan program itu sebagai usaha memanfaatkan semula sumbangan komuniti yang menyokong Yayasan KUIS melalui pembayaran zakat serta sumbangan wakaf dan infaq.
Selain sumbangan kepada pelajar dan orang ramai yang memerlukan, program ini diharap meneladani orang ramai pentingnya sokongan kepada kelompok terjejas dengan kadar kos sara hidup yang semakin meningkat.
Pendekatan “give back to community” ini adalah sebagai usaha menzahirkan pentingnya sokongan komuniti terhadap usaha-usaha kesedaran dan memperkasakan jiwa sebagai pembayar zakat serta penyumbang wakaf dan infaq secara sistematik.
“Yayasan KUIS sangat berbesar hati dengan sokongan komuniti termasuk individu, pertubuhan dalam komuniti, organisasi perniagaan, institusi kewangan dan perbankan yang berterusan mempercayai Yayasan KUIS sebagai sebuah yayasan yang menguruskan kebajikan pelajar melalui zakat, wakaf dan infaq,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan KUIS, Ahmad Fatin Mohamad Suhaimi.
Sejak ditubuhkan pada 2011, Yayasan KUIS telah mengagihkan sumbangan hampir RM9.2 juta melalui zakat, wakaf dan infaq yang diterima daripada pelbagai pihak.
Agihan diberikan adalah dalam bentuk bantuan yuran pengajian, sagu hati sara hidup, bantuan makanan, bantuan persekolahan, bantuan bencana alam dan pelbagai lagi.
Yayasan KUIS merupakan sebuah yayasan yang berdaftar bawah SSM dan ditubuhkan melalui UIS bagi membantu memastikan kebajikan pelajar terjamin.
Hadir sama dalam program ini adalah pemilik stesen Petronas Bandar Seri Putra, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UIS, Dr. Abdul Razif Zaini.