fb fb fb fb fb

Anggota JPJ menyamar, kesan pemandu tidak patuhi lampu isyarat merah

FOTO JPJ PERLIS

KANGAR, 1 Mac- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis telah mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan saman ke atas 60 pemandu kenderaan yang tidak mematuhi lampu isyarat merah.

Tindakan diambil menerusi OPS Merah oleh Pasukan Operasi Khas JPJ Perlis bersempena Operasi Musim Perayaan Tahun Baru Cina dan Cuti Persekolahan yang menyasarkan pemandu kereta dan motosikal yang sering melanggar peraturan lampu isyarat merah di persimpangan lampu isyarat laluan utama seluruh negeri Perlis.

Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah dalam kenyataannya berkata, bagi kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat merah, Orang Kena Saman (OKS) boleh dikompaun sebanyak RM300.

Walaupun JPJ kerap melakukan advokasi dan teguran berkaitan kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat merah, masih ramai lagi pemandu kenderaan di negeri berkenaan yang tetap berdegil dan tidak berhenti di persimpangan jalan ketika lampu isyarat berwarna merah.

OPS Merah dijalankan secara penyamaran dan setiap pemandu yang dikesan gagal mematuhi peraturan lalu lintas itu akan dipintas dan dikenakan tindakan saman serta merta.

Penguatkuasaan undang-undang ke atas kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat merah akan dijalankan secara berterusan oleh pihak JPJ Perlis bagi memastikan semua pemandu kenderaan sentiasa mengamalkan budaya pematuhan peraturan jalan raya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE