fb fb fb fb fb

FCOEE anjur Pesta Buah-Buahan Tempatan

FOTO MEDIA ISTANA ARAU

KANGAR, 1 Mac- Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCOEE) menganjurkan Pesta Buah-Buahan Tempatan sempena Program A3I Asia Campus Plus-Short Mobility Program 2024.

Seramai 10 orang pelajar negara China dari Hangzhou Dianzi University; 13 orang pelajar Jepun dari University of Yamanashi; lima orang pelajar Korea Selatan dari Pukyong National University serta 12 orang pelajar Malaysia dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) teruja dengan pengalaman tersebut. 

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha mengetengahkan buah-buahan tempatan khususnya kepada pelajar antarabangsa ini bertepatan ketika berlangsungnya  kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Apalagi, masyarakat di negeri itu kini sedang menunggu musim Harumanis Perlis yang bakal tiba tidak lama lagi yang sememangnya menjadi rebutan termasuklah penduduk dari negeri lain.

Titah baginda, ketika musim Harumanis Perlis ini, adalah digalakkan individu, penjual, dan pengusaha restoran khususnya di negeri ini untuk terus mengambil kesempatan menikmati keenakan, menjalankan urusniaga Harumanis Perlis dan menghasilkan produk-produk hiliran secara lebih kreatif lagi sebagai penjanaan tambahan bagi pendapatan dan ekonomi negeri serta rakyat.

Baginda  bertitah ketika melancarkan program yang berlangsung di Nyorok Cafe, bersebelahan dengan Laman Woodball MPK Dataran Datuk Sheikh Ahmad.

Antara buah-buahan tempatan yang disajikan dalam program yang mendapat kerjasama daripada pihak UniMAP dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu ialah tembikai merah, tembikai susu, belimbing, betik, nangka madu, jambu batu, nenas MD2, pisang emas, pisang berangan, jambu air madu dan kelapa muda.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diiringi sama anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail  .

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan isteri, Datin Noridah Yangman serta Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE