fb fb fb fb fb

Kurang 29% syarikat bayar cukai - Anwar

Foto BERNAMA

CYBERJAYA, 1 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kurang setengah juta syarikat daripada 1.5 juta syarikat berdaftar di Malaysia membuat pembayaran cukai.

Anwar berharap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memainkan peranan sewajarnya memastikan syarikat terlibat mengambil tanggungjawab membayar cukai.

Seterusnya, berupaya memberi manfaat kepada rakyat dan mengekang ketirisan daripada terus berlaku.

“Daripada 1.5 juta syarikat berdaftar, kurang setengah juta yang bayar cukai.. ini maknanya kurang 29 peratus bayar cukai.

“Saya singgung hal demikian untuk jelaskan betapa mendesak dan perlu kecekapan, kepantasan pengurusan dan pendirian rakan- rakan daripada LHDN jalankan tugas, ingatkan jumlah yang bayar kecil dan hasil sangat diperlukan bukan untuk menjamin pertumbuhan negara tapi keselesaan rakyat.

“Selain jentera Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam kalangan penjawat awam utamanya LHDN untuk menyelamatkan bangsa dan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil 2024 di sini.

Beliau berkata Malaysia hakikatnya masih mempunyai asas cukai yang rendah iaitu sekitar 11.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding dengan negara jiran lain seperti Singapura dan Thailand; masing-masing 12.6 peratus dan 16.4 peratus.

Sehingga 31 Disember 2023, jumlah pembayar cukai individu adalah sebanyak 5.7 juta dengan hasil kutipan RM40.96 bilion dan bagi syarikat pula adalah sebanyak 539,113 dengan hasil kutipan RM98.77 bilion.

Dalam pada itu, Anwar merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil 2024 di Menara Hasil, Cyberjaya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Menteri Kewangan ll, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Sambutan Hari Hasil dianjurkan bermula semalam dan akan berakhir 3 Mac ini.

Pelbagai kaunter perkhidmatan agensi kerajaan dan swasta dibuka bagi memudahkan masyarakat membuat urusan berkaitan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM