KUCHING, 31 Disember — Bekalan makanan di Forward Operating Base (FOB) atau Pangkalan Operasi Hadapan Sarawak telah disediakan lebih awal dan berada pada tahap mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, persiapan rapi telah dilaksanakan bagi memastikan keselamatan serta keperluan asas penduduk terjejas dapat dipenuhi tanpa gangguan.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah menyediakan pusat bekalan utama di Kota Samarahan, selain beberapa pusat bekalan mini di lokasi strategik di seluruh Sarawak, termasuk kawasan luar bandar.
“Kami berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya. Pusat bekalan utama telah diwujudkan di Kota Samarahan selain beberapa pusat bekalan mini di lokasi terpilih dan semuanya telah dibekalkan lebih awal.
"Selain itu, kami turut mempunyai pembekal tempatan termasuk di kawasan luar bandar di seluruh Sarawak bagi memastikan bekalan dapat disalurkan dengan segera apabila diperlukan.”katanya ketika ditemui media di Dewan Masyarakat Stapok, Jalan Stephen Yong, hari ini.
Menurut beliau, pengalaman menghadapi banjir pada tahun lalu dijadikan pengajaran penting dalam memperkemas kesiapsiagaan semasa.
Sehubungan itu, arahan turut dikeluarkan kepada agensi berkaitan supaya mengenal pasti dan melantik pembekal makanan di beberapa lokasi bagi mempercepatkan penyaluran bantuan sekiranya berlaku bencana.
Langkah berkenaan dijangka membolehkan keperluan asas termasuk makanan dan kelengkapan lain disalurkan dengan lebih pantas dan berkesan kepada penduduk yang terjejas.
