Wujudkan stok penimbal, pastikan keterjaminan ubat, peranti perubatan

Wujudkan stok penimbal, pastikan keterjaminan ubat, peranti perubatan. /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 April – Kerajaan memberi perhatian serius terhadap keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan negara susulan impak berterusan krisis tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wujudkan stok penimbal strategik nasional bagi memastikan keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan
  • Langkah jangka pendek: pantau stok berpusat, pelbagaikan import, aktifkan pelan kecemasan, tetapkan item kawalan, lancarkan laluan akses khas
  • Akui risiko gangguan bahan mentah kritikal seperti API, petroleum dan ethylene oxide yang boleh menyebabkan kekurangan bekalan serta kos pengilangan meningkat
  • Bangunkan dasar MyMedSecure dan perkasakan industri farmaseutikal serta peranti perubatan tempatan; selaraskan tindakan melalui MTEN untuk ketahanan sistem kesihatan

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, krisis berkenaan bukan sahaja menjejaskan sektor minyak dan logistik, malah turut memberi tekanan kepada rantaian bekalan kesihatan global.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan akan mewujudkan stok penimbal strategik nasional bagi memastikan keterjaminan produk kesihatan berkenaan.

“Antara langkah jangka pendek memantau stok ubat secara berpusat, mempelbagaikan sumber import, mengaktifkan pelan gerak balas kecemasan, menetapkan item tertentu sebagai item kawalan, melaksanakan laluan akses khas untuk memastikan bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan kritikal di negara ini sentiasa terjamin.” jelasnya dalam sesi taklimat krisis tenaga global di Putrajaya hari ini.

Ujar beliau lagi, gangguan bekalan bahan mentah kritikal seperti Active Pharmaceutical Ingredient (API), petroleum dan gas ‘ethylene oxide’ berpotensi menyebabkan kekurangan bekalan serta peningkatan kos pengilangan dan penghantaran.

Kerajaan juga akan membangunkan dasar keterjaminan ubat negara menerusi inisiatif MyMedSecure serta memperkasa industri farmaseutikal dan peranti perubatan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

Langkah bersepadu itu diselaraskan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memastikan sistem kesihatan negara kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.