
PUTRAJAYA, 5 April – Bandar Simpang Renggam, Kluang dan Mersing di Johor diumumkan sebagai Bandar Paling Bahagia 2026.
- Pengukuran kebahagiaan bandar diintegrasikan dengan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia oleh DOSM untuk penilaian lebih komprehensif.
- MURNInets melengkapkan analisis dengan mengambil kira pengalaman sebenar penduduk terhadap kualiti persekitaran dan perkhidmatan bandar.
- Laporan Ipsos 2026 menunjukkan kebahagiaan Malaysia meningkat kepada 81 peratus, menandakan hasil dasar Kerajaan MADANI.
- KPKT komited kepada pembangunan bandar mampan dan inklusif sementara tema Bijak Digital menyeru etika serta tanggungjawab kolektif di ruang maya.
Turut tersenarai bandar raya Kuala Terengganu, Marang dan Permaisuri di Terengganu, Dabong di Kelantan, Lipis dan Raub di Pahang serta Ranau, Sabah.
Kesemua bandar berkenaan menerima anugerah tersebut daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Nga berkata pengukuran Tahap Kebahagiaan Bandar di Malaysia diintegrasikan dengan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ini bagi memastikan penilaian kebahagiaan bandar adalah lebih komprehensif dan seimbang iaitu pengukuran oleh DOSM mewakili gambaran kesejahteraan rakyat secara menyeluruh di peringkat nasional, negeri dan daerah.
Manakala, pengukuran MURNInets pula melengkapkan analisis dengan mengambil kira pengalaman sebenar penduduk terhadap kualiti persekitaran dan perkhidmatan bandar.
“Berdasarkan laporan Indeks Kebahagiaan Ipsos 2026 yang dikeluarkan 19 Mac lepas, di Malaysia, tahap kebahagiaan yang dilaporkan adalah lebih tinggi daripada purata global iaitu sebanyak 81 peratus berbanding 76 peratus pada 2025.
“Ini bermaksud dasar Kerajaan MADANI mensejahterakan rakyat kini mula membuahkan hasil. Kita akan terus mempertingkatkan payung MADANI untuk melindungi rakyat daripada segala ketentuan, kacau-bilau dan huru-hara di peringkat global,” katanya ketika berucap dalam Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Menurut Nga, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus komited memperkukuh agenda kebahagiaan rakyat melalui pendekatan pembangunan bandar yang mampan, inklusif dan berteraskan kesejahteraan.
Beliau tidak menolak perkembangan pesat teknologi khususnya media sosial kini memainkan peranan besar dalam kehidupan moden, selari dengan tema Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia tahun ini, “Bijak Digital, Cipta Bahagia Bersama”.
“Bijak Digital bukan sekadar celik teknologi, tetapi merangkumi kebijaksanaan dalam berkomunikasi, beretika dan bertanggungjawab di ruang maya. Manakala “Cipta Bahagia Bersama” menekankan bahawa kebahagiaan bukan sesuatu yang berlaku secara individu, tetapi sebuah tangungjawab yangkolektif,” katanya.