Perlis isytihar Cuti Peristiwa 1 Januari 2026

KANGAR, 31 Disember – Kerajaan Negeri Perlis mengisytiharkan esok (Khamis), 1 Januari 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa sempena penganjuran Karnival Sambutan Tahun Baharu 2026 peringkat Negeri Perlis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Negeri Perlis isytihar 1 Januari 2026 sebagai Cuti Peristiwa untuk Karnival Sambutan Tahun Baharu 2026.
  • Pengisytiharan dibuat oleh Menteri Besar Abu Bakar Hamzah selepas mendapat perkenan Raja Perlis.
  • Cuti diberikan sebagai penghargaan kepada penjawat awam dan rakyat yang menjayakan karnival.
  • Tujuan pengumuman untuk memudahkan kehadiran dan perancangan rakyat menghadiri karnival.
  • Pengisytiharan adalah selaras dengan peruntukan Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Menurut beliau, pemberian cuti peristiwa berkenaan merupakan satu bentuk penghargaan kepada penjawat awam dan rakyat Negeri Perlis yang bersama-sama menjayakan sambutan berkenaan.

“Pemberian cuti peristiwa ini adalah satu bentuk penghargaan buat seluruh penjawat awam dan rakyat Negeri Perlis yang menjayakan Karnival Sambutan Tahun Baharu 2026 peringkat Negeri Perlis,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pengisytiharan cuti itu diharap dapat memudahkan urusan rakyat untuk hadir ke karnival tersebut serta mengatur perancangan masing-masing dengan lebih baik.

“Diharapkan pengumuman ini dapat memudahkan segala urusan semua rakyat untuk hadir menjayakan karnival ini dan mengatur segala perancangan sebaiknya,” katanya lagi.

Tambah beliau, pengisytiharan cuti peristiwa itu adalah selaras dengan peruntukan Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).

Karnival Sambutan Tahun Baharu 2026 peringkat Negeri Perlis dijadualkan berlangsung pada 31 Disember 2025, dengan pelbagai pengisian melibatkan penyertaan masyarakat setempat.