fb fb fb fb fb

DUN Perlis tarik balik pemakluman PRK tiga kerusi

Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan/RTM

KANGAR, 31 Disember - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis menarik semula pemakluman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perlis berhubung permohonan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi tiga kerusi DUN iaitu Bintong, Chuping dan Guar Sanji yang kosong selepas tiga Adun kawasan itu diberhentikan keahlian mereka daripada PAS sebelum ini.

Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, meskipun PRK tidak akan diadakan, ketiga-tiga kerusi tersebut akan kekal kosong sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 akan datang.

Menurut beliau, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa termasuk pendirian PAS selaku parti komponen Perikatan Nasional (PN) yang memberi jaminan untuk terus komited dalam mengekalkan kelangsungan dan kestabilan kerajaan negeri Perlis.


“Keputusan terbaharu ini juga adalah sebagai menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis agar semua ADUN Perikatan Nasional di Perlis kembali bersatu dan bekerjasama sebagai satu pasukan demi kepentingan negeri serta rakyat Negeri Perlis.

"Untuk makluman, saya telah menyembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis berhubung perkembangan terbaharu ini melalui warkah yang diutuskan pada hari ini", katanya demikian kepada pemberita di Pejabat Speaker DUN Perlis di Kompleks Seri Putra, disini.

Penarikan balik pemakluman mengenai keperluan PRK itu dimaklumkan secara rasmi kepada SPR Perlis melalui surat bertarikh pada Selasa.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD