KUALA LUMPUR, 31 Disember - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan melaksanakan e-Invois Fasa 4 serta pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) Fasa 1 bermula esok, (1 Januari 2026).
LHDN dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan e-Invois Fasa 4 itu melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta.
Jelas LHDN, ia merupakan antara inisiatif utama yang menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), melalui pendigitalan dan pemerkasaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
"Inisiatif ini membantu meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh pengurusan rekod perniagaan yang teratur dan memudahkan pematuhan cukai secara lebih telus dan sistematik," jelas LHDN.
Dalam kenyataan sama, LHDN turut memberitahu, lebih 843 juta e-Invois telah direkodkan setakat ini, melibatkan 113,800 pembayar cukai di seluruh negara.
Ia sekali gus membuktikan tahap penerimaan yang memberangsangkan serta komitmen pembayar cukai terhadap pelaksanaan inisiatif ini.
Sementara itu, perniagaan yang mendaftar dan menggunakan MyInvois e-POS juga boleh mendapatkan pencetak resit secara percuma daripada HASiL bermula 1 Januari 2026 hingga 30 Jun 2026.
Ini sebagai usaha membantu perniagaan mengurangkan kos operasi, termasuk kos langganan perisian komersial, kos cetakan dan penyimpanan dokumen fizikal.
Pada masa sama, selaras dengan pelaksanaan STSDS, Sistem Taksiran dan Pembayaran Duti Setem (STAMPS) sedia ada akan ditamatkan sepenuhnya pada hari ini.
Manakala semua urusan penyeteman akan dimigrasikan ke sistem e-Duti Setem bermula 1 Januari 2026.
