KUALA LUMPUR, 31 Disember – Keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol Lebuhraya Cheras–Kajang (GRANDSAGA) hingga tahun 2026 disifatkan sebagai langkah penting dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, dasar itu selari dengan pengumuman Kerajaan MADANI yang komited memastikan tiada kenaikan tol di 10 lebuh raya utama, termasuk GRANDSAGA, seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember lalu.
"Bagi pengguna harian, khususnya mereka yang berulang-alik ke pusat bandar, pengekalan kadar tol ini membawa penjimatan langsung setiap bulan.
"Walaupun hanya RM1 atau RM2, kesannya adalah besar dalam jangka panjang," katanya kepada RTM.
Dalam pada itu beliau mengingatkan bahawa keputusan berkenaan turut memberi implikasi kewangan kepada kerajaan, yang perlu menyalurkan pampasan hampir RM600 juta setahun kepada pihak konsesi.
Tambah Profesor Emeritus Dr. Barjoyai, dalam jangka panjang, strategi pampasan berterusan bukan satu pendekatan yang lestari dan kerajaan perlu memikirkan penyelesaian lebih menyeluruh.
"Antara caranya ialah dengan mewujudkan satu tabung wakaf tol yang boleh dicarumkan oleh syarikat-syarikat dalam bentuk sumbangan CSR dan kemudian caruman kerajaan.
"Sebahagian daripada bayaran tol pada masa akan datang perlulah diketepikan ke dalam tabung wakaf ini, supaya kita dapat menghapuskan tol di semua lebuh raya di Malaysia secara berperingkat dalam tempoh sekitar 20 tahun," katanya.
Secara keseluruhan, beliau berpandangan, pengekalan kadar tol ini bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah membuka ruang untuk kerajaan menilai semula model pengurusan lebuh raya secara lebih telus, mampan dan berasaskan data.
Terdahulu, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan supaya kadar tol bagi 10 konsesi lebuh raya, dikekalkan pada tahun hadapan.
