
MAINZ, 3 April – Bintang bola sepak Belanda, Anwar El Ghazi, mencatatkan kemenangan undang-undang muktamad dalam tindakan pemecatan tidak adil terhadap kelab Bundesliga, Mainz, berhubung hantaran di media sosial mengenai konflik di Gaza.
- Mahkamah buruh Jerman menolak rayuan Mainz, menutup semua ruang perundangan dan mengekalkan keputusan terdahulu.
- El Ghazi menggesa Mainz bayar baki kontraknya dan berjanji salurkan wang tersebut kepada kanak-kanak Gaza.
- Pada Julai 2024 beliau diberi pampasan melebihi €1.5 juta, dan kemudian menyertai Cardiff City serta Al Sailiya.
Pada Khamis, mahkamah buruh Jerman menolak rayuan Mainz terhadap keputusan terdahulu yang tidak membenarkan mereka meneruskan rayuan lanjut.
Keputusan itu sekali gus menutup semua ruang perundangan buat kelab tersebut dan menjadikan keputusan sebelum ini kekal serta sah dari segi undang-undang.
Mahkamah memutuskan bahawa hak kebebasan bersuara adalah lebih utama berbanding kepentingan kelab berkenaan.
Selepas keputusan diumumkan, El Ghazi mengkritik usaha rayuan Mainz sebagai “tidak masuk akal dan menyedihkan” menerusi X.
Beliau turut menyindir pihak pengurusan kelab kerana terus gagal dalam usaha mereka.
“Sudah tiba masanya pembuat keputusan yang khayal di Mainz berhenti dan membayar baki kontrak saya,” katanya.
Beliau turut berjanji wang tersebut akan disalurkan kepada usaha kebajikan membantu kanak-kanak di Gaza.
Mainz sebelum ini menggantung El Ghazi pada Oktober 2023 selepas pemain itu berkongsi hantaran di media sosial yang menggunakan slogan “dari sungai ke segara, Palestin akan merdeka.”
Slogan berkenaan dianggap oleh sesetengah pihak sebagai seruan untuk menghancurkan Israel.
Manakala pihak lain berpendapat ia adalah rayuan untuk kesaksamaan bagi rakyat Palestin dan Israel.
Kelab itu kemudian mengeluarkan kenyataan yang mengatakan pemain itu akan kembali menyertai pasukan selepas “secara eksplisit menjauhkan diri” daripada komen berkenaan.
Bagaimanapun, El Ghazi menyangkal dakwaan tersebut di media sosial dan menegaskan beliau tidak menyesali pendiriannya.
Susulan itu, Mainz mengumumkan penamatan kontrak El Ghazi serta-merta.
Pada Julai 2024, El Ghazi memenangi kes pemecatan tidak adil, yang melayakkannya menerima pampasan melebihi €1.5 juta (RM sekitar 7.7 juta).
Bekas pemain Aston Villa dan Everton itu kemudiannya menyertai kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City pada 2024 sebelum berhijrah ke pasukan Qatar, Al Sailiya, pada 2025. -AFP