fb fb fb fb fb

Lelaki warga emas maut, isteri parah kereta dinaiki rempuh lori

FOTO JBPM

JERANTUT, 23 November- Seorang warga emas maut, manakala isterinya cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Simpang Batu Embun di KM 4 Jalan Jerantut, Jerantut petang tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azman Khamis, pihaknya menerima laporan kejadian berlaku pada jam 3.03 petang.

Beliau berkata, mangsa bersama isteri dan dua orang cucu berusia tiga dan enam tahun menaiki kereta jenis Perodua Myvi dari arah Jerantut hendak ke Pulau Mansok.

"Setiba di tempat kejadian, mangsa yang memandu hendak membelok keluar simpang ke arah kanan sebelum dirempuh lori yang bergerak lurus menghala Pulau Mansok ke Kuala Tembeling.

"Rempuhan itu telah mengakibatkan bahagian kereta sebelah kanan mangsa remuk dan mangsa, Zainallah Abdullah, 74 tahun, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

"Isterinya, Rapiah @ Ramlah Abdul Manah, 71 tahun pula dilaporkan mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di unit kecemasan Hospital Jerantut, manakala dua cucu mereka hanya mengalami cedera di bahagian kepala,"katanya.

Azman berkata, kes disiasat mengikut di bawah Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE