fb fb fb fb fb

20 individu didakwa terlibat kumpulan jenayah terancang, Geng Rames

Foto BERNAMA

SUNGAI PETANI, 30 Disember- 20 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Rames, sejak Januari tahun lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua lelaki tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Najwa Che Mat, kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kesemua mereka yang berusia 24 hingga 42 tahun itu, didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng Rames” antara Januari 2024 hingga 4 Disember lepas di Kampung Sungai Division dalam daerah Kuala Muda, Sungai Petani.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim, manakala tertuduh diwakili empat peguam mewakili mereka secara berasingan.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM