KUANTAN, 30 Disember- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menggagalkan cubaan pengedaran rokok serta minuman keras tidak berkastam menerusi empat kes berasingan dengan nilai RM3.7 juta.
Pengarahnya, Mohd Asri Seman berkata kesemua rampasan melibatkan lebih 4.6 juta batang rokok serta 1,200 liter minuman keras antara 27 November hingga 1 Disember lalu.
Tambah beliau, kesemua rampasan hasil siri serbuan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Stesen Kuantan dengan dua kes di Kedah manakala satu kes di Selangor dan Negeri Sembilan.
Sindiket dipercayai menggunakan premis kediaman, ladang sawit serta perkhidmatan syarikat penghantaran sebagai modus operandi bagi menyimpan dan mengedarkan rokok serta minuman keras tidak berkastam.
"Rokok yang dirampas bagi kes berkenaan merupakan barang larangan di bawah Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian 2, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, yang mana pengimportannya tertakluk kepada permit import."
"Minuman keras yang turut dirampas pula dikategorikan sebagai barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga, Bahagian 2, perintah yang sama, di mana pengimportannya memerlukan lesen import serta setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia selaras Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019," kata Mohd Asri kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di sini.
Kesemua rampasan kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berkaitan kesalahan menyimpan dan memiliki barang tidak berkastam serta barang larangan import.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan berkaitan, JKDM Pahang
merekodkan rampasan dagangan bernilai RM16.9 juta sepanjang 2025, dengan jumlah cukai RM14.4 juta.
Jumlah itu meningkat ketara berbanding RM3.9 juta nilai rampasan pada 2024.
Bagi rampasan rokok sahaja, nilai direkodkan RM2.039 juta dengan jumlah cukai RM13 juta membuktikan komitmen berterusan JKDM membanteras penyeludupan.
Sepanjang tahun ini, JKDM Pahang juga melaksanakan 49 tangkapan melibatkan 61 individu serta 12 pendakwaan.