fb fb fb fb fb

Kes dadah: Lebih 12,000 individu ditahan pada Januari-November 2023

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri

IPOH, 24 November- Seramai 12,685 orang yang terlibat dalam kes dadah di Perak ditahan sepanjang Januari hingga 20 November 2023.

Ia melibatkan jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai lebih RM49 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pelbagai jenis dadah telah dirampas antaranya, syabu, ketamin, pil ekstasi, pil yaba, ganja dan heroin.  

"Jumlah keseluruhan tangkapan seramai 12,685 orang, dimana pecahannya 2,260 orang mempunyai bekalan dadah, seramai 5,832 individu memiliki dadah, seramai 98 orang ditahan dibawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan positif ujian urin seramai 4,495 orang", katanya dalam sidang media berkaitan Ops Tapis Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh.

Tambah beliau, nilai keseluruhan sitaan harta berjumlah lebih RM7 juta.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak (JSJN) Perak telah berjaya menahan 486 orang dalam Ops Tapis Khas yang dijalankan pada 20 hingga 22 November secara serentak di seluruh negeri.

Pelbagai jenis dadah dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan lebih RM55,000.

JSJN Perak juga telah mengenal pasti 21 orang penagih tegar dan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

ROSLINA BINTI DIN