JOHOR BAHRU, 6 Mac- Seorang wanita warga emas dan dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan tiga kereta di Lebuhraya Pasir Gudang berhampiran Taman Permas Jaya di sini, malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, MK Haridas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan pada 11.41 malam.
Katanya, seramai sembilan anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian dan setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler, Perodua Myvi, Perodua Alza dan Honda Civic.
"Semua mangsa itu tersepit dalam kenderaan dan sebaik dibawa keluar, mereka disahkan sudah meninggal dunia.
"Mereka yang maut adalah pemandu Perodua Alza berusia 46 tahun serta pemandu Honda Civic dan penumpangnya iaitu wanita warga emas masing-masing yang berusia 45 dan 73 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Haridas berkata, pemandu Perodua Myvi berusia 40-an cedera dan pemandu treler berusia 28 tahun mengalami kecederaan pada pinggang.
Katanya, semua mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, untuk bedah siasat selain rawatan kecemasan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori treler terbabas menaiki penghadang di tengah jalan lalu memasuki laluan bertentangan sehingga bertembung dengan tiga kereta mangsa yang terlibat.
Beliau berkata pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.