fb fb fb fb fb

Pemandu lori didakwa tipu warga emas lebih RM1 juta

Tertuduh, M Gopalan Krishnan, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, atas tuduhan menipu warga emas sebanyak RM1.029 juta pada tahun lepas.

AYER KEROH, 16 Februari- Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen,di sini hari ini atas tuduhan menipu warga emas sebanyak RM1.029 juta pada tahun lepas.

Tertuduh, M Gopala Krishnan, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Dia dituduh menipu Yap Koh Cheng, 69,  dengan memperdayakan mangsa supaya mempercayai dia boleh mendapatkan tender pajak ladang kelapa sawit dan dengan curangnya mendorong mangsa untuk menyerahkan wang berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kawasan Perindustrian Lendu, Alor Gajah pada Jun 2023.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh didenda.

Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom menawarkan jaminan sebanyak RM45,000 terhadap tertuduh selepas merujuk kepada nilai kerugian dialami mangsa.

Peguam tertuduh ,  K Shareveen , bagaimanapun memohon jaminan lebih rendah memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan tiga ribu ringgit sebulan selain mempunyai lima anak berusia setahun hingga 10 tahun.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis sebulan sekali dan pasport diserah kepada mahkamah.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI