Tuesday, 17 May 2022
updated 4:44 PM UTC, May 17, 2022

INDONESIA

  • Indonesia akan hasilkan pil antiviral COVID-19 tidak lama lagi

    FOTO AFP


    JAKARTA, 19 Januari- Indonesia menyasarkan penghasilan dua jenis pil antiviral COVID-19 tempatan, Molnupiravir dan Paxlovid pada April atau Mei tahun ini.

    "Kerajaan akan terus memastikan bekalan ubatan COVID-19 untuk kegunaan domestik mencukupi bagi menghadapi gelombang virus SARS-CoV-2," kata jurucakap petugas khas COVID-19 kerajaan, Reisa Broto Asmoro dalam satu sidang media maya.

    Kerajaan telah memperoleh 400,000 tablet Molnupiravir untuk merawat COVID-19 melalui syarikat pembekal ubat generik India, PT Amarox Pharma Global.

    Molnupiravir yang dibangunkan oleh Merck & Co dan Ridgeback Biotherapeutics dan Paxlovid oleh Pfizer akan dihasilkan di kilang PT Amarox Pharma Global di daerah Bekasi.

    Pil antivirus berfungsi memperkenalkan ralat pada kod genetik virus SARS-CoV-2 dan menghalang virus daripada terus berganda.

    Negara yang memiliki bilangan penduduk keempat tertinggi di dunia itu menyaksikan jumlah kes COVID-19 didorong varian Omicron meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

    Jumlah keseluruhan kes Omicron meningkat kepada 882 kes setakat 14 Jan, manakala 276 pesakit telah sembuh hari ini, kata Reisa.

    Indonesia mencatat 1,362 kes COVID-19 pada 18 Jan, jumlah kes harian tertinggi sejak pertengahan Oktober 2021.- BERNAMA

  • Indonesia percepat pembangunan vaksin merah putih

    FOTO UNICEF

    JAKARTA, 14 Januari -Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan (PMK) Indonesia Muhadjir Effendy menggesa pihak berkuasa berkaitan mempercepatkan penghasilan vaksin Merah Putih, agar vaksin COVID-19 keluaran tempatan dapat digunakan segera.

    ANTARA News melaporkan bahawa kerajaan Indonesia menerusi satu kenyataan akhbar pada Khamis berkata, pembangunan Vaksin Merah Putih sedang giat dijalankan oleh Universiti Airlangga dengan kerjasama PT Biotis, PT Bio Farma dengan Kolej Perubatan Baylor, Universiti Indonesia dengan kerjasama PT Etana, Institut Teknologi Bandung, PRBM Eijkman BRIN bersama PT Bio Farma, serta Universiti Padjadjaran selain bekerjasama dengan PT Bio Farma dan Lipotek.

    Vaksin Merah Putih yang dibangunkan Universiti Airlangga dengan kerjasama PT Biotis dijangka siap pada awal 2022 dan penghasilan vaksin secara besar-besaran pada pertengahan 2022, katanya.

    Effendy pada Rabu menggesa Kementerian Kesihatan menggalakkan penghasilan vaksin Merah Putih secepat mungkin ketika sesi mesyuarat penyelarasan yang membincangkan pengeluaran vaksin domestik.

    "Kami menaruh harapan penghasilan vaksin dapat dipercepatkan tanpa menjejaskan kualiti, kejituan dan keberkesanan produk," tegasnya.

    Kementerian yakin bahawa vaksin yang dibangunkan pasukan penyelidik boleh digunakan segera bagi menyokong usaha melawan pandemik COVID-19 di Indonesia.

    “Sekiranya kita dapat mencapai sasaran maksimum, kita harap penggunaan vaksin buatan tempatan ini dapat menamatkan penularan wabak (COVID-19),” tegasnya.

    "Saya memanggilnya husnul khatimah. Kita berbangga dapat menjulang Bendera Merah Putih dengan mengatasi (wabak) menggunakan vaksin yang kita ada," katanya.

    Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan vaksin COVID-19 dilaksanakan pihak kerajaan dengan kerjasama industri farmaseutikal, institusi penyelidikan dan universiti.

    Kenyataan itu turut menyebut, Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin mengesahkan Vaksin Merah Putih primer akan dilancarkan selewat-lewatnya Mac 2022 dan vaksin itu disasarkan untuk kegunaan kanak-kanak pada Jun 2022. - BERNAMA

  • B23 AFF 2020: Skuad belia negara diundi bertemu Indonesia

     

    KUALA LUMPUR, 30 Disember- Skuad Harimau Malaya Bawah 23 Tahun bakal berdepan laluan sukar apabila diundi bersama musuh tradisi, Indonesia dalam saingan kumpulan B Kejuaraan AFF B-23 2020 yang akan berlangsung di Kemboja, Februari depan.

    Menerusi undian yang berlangsung secara maya, skuad kendalian Brad Maloney itu turut diletakkan bersama Myammar dan Laos dalam kumpulan yang sama.

    Berdasarkan format kejohanan, hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan mengesahkan slot ke separuh akhir.

    Kejohanan tersebut merupakan antara kempen penting buat skuad muda negara pada tahun depan selain Sukan SEA Vietnam, Piala Asia Bawah 23 di Uzbekistan dan Sukan Asia 2022.

    Sementara itu, undian lain menyaksikan naib juara 2019, Thailand diundi bersama Vietnam dan Singapura dalam Kumpulan C.

    Manakala Kemboja, Timor Leste, Filipina dan Brunei masing-masing diletakkan dalam Kumpulan A.

  • Indonesia mula tawarkan dos penggalak pada 12 Januari

     

    JAKARTA, 3 Januari - Populasi dewasa di Indonesia akan mendapat dos penggalak vaksin COVID-19 mulai 12 Januari, menurut Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin.

    Individu berumur 18 tahun dan ke atas yang telah lengkap suntikan dua dos COVID-19 untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan lalu boleh mendapatkan suntikan penggalak bagi perlindungan berterusan, katanya semasa taklimat COVID-19.

    Kementeriannya menganggarkan lebih 21 juta orang di negara ini layak menerima suntikan itu.

    Menurut Budi, vaksin penggalak akan diberikan kepada daerah atau bandar dengan kriteria kadar vaksinasinya mencapai 70 peratus bagi dos pertama dan 60 peratus dos kedua.

    Terdapat 244 kawasan dan bandar yang telah memenuhi kriteria itu.

    Setakat ini, Indonesia telah memperoleh 113 juta dos, tetapi memerlukan 230 juta dos penggalak bagi menjayakan program - BERNAMA