JAKARTA, 20 Januari- Pendahulu calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto melebarkan kedudukannya ke atas dua lagi pesaingnya dalam tinjauan simulasi terbaru, menjelang pilihan raya presiden pada 14 Februari depan, menurut dua tinjauan pendapat hari ini.
Berdasarkan tinjauan dijalankan Institut Kajian Indikator Politik Indonesia antara 10 Januari dan 16 Januari lalu, 48.6 peratus pengundi menyokong gandingan menteri pertahanan itu serta calon naib presidennya, Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Presiden Joko Widodo.
Bilangan penyokongnya meningkat selepas sokongan tidak berubah pada sekitar 45.8 peratus dalam dua tinjauan sebelumnya oleh Indikator.
Prabowo melebarkan kedudukannya ke atas pesaingnya, juga bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo.
Sokongan Anies susut kepada 24.2 peratus daripada 25.5 peratus dalam tinjauan sebelumnya pada 30 Disember hingga 6 Januari, sementara sokongan untuk Ganjar susut kepada 21.6 peratus daripada 23 peratus.
Tinjauan Lembaga Survei Indonesia (LSI) pula berkata, berdasarkan tinjauan telefon dijalankan pada 10 dan 11 Januari lalu, Prabowo mendapat 47 peratus sokongan, meningkat daripada 45.6 peratus dalam tinjauan sebelumnya.
LSI menyatakan, sokongan untuk Anies turut meningkat sedikit kepada 23.2 peratus daripada 22.3 peratus, namun sokongan Ganjar merosot kepada 21.7 peratus daripada 23.8 peratus.
Kedua-dua Indikator dan LSI menjangkakan kemungkinan pilihan raya masih kekal untuk ke pusingan kedua, biarpun Prabowo terus mendahului, namun dia masih belum memperoleh undi yang diperlukan untuk menang pada pusingan pertama.
Jika tiada calon memperoleh undi lebih separuh daripada 205 juta pengundi layak, saingan seterusnya akan diadakan pada 26 Jun depan. - REUTERS