JAKARTA, 4 Disember- Sekurang-kurangnya 11 orang pendaki ditemukan mati selepas gunung berapi meletus di barat Indonesia, menurut pegawai penyelamat tempatan hari ini.
Gunung Marapi di pulau Sumatera dengan puncak setinggi 2,891 meter (m) itu meletus semalam dengan mengeluarkan abu setinggi 3,000 m ke langit.
“Terdapat 26 pendaki belum dipindahkan. Buat masa ini, kami telah menemukan 14 daripadanya, tiga hidup dan 11 mati,” kata Abdul Malik, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Padang.
Beliau berkata, kira-kira 75 pendaki berada di gunung itu sejak Sabtu lalu yang sedang dicari oleh pasukan penyelamat.
Agensi Mitigasi Bencana Sumatera Barat, Rudy Rinaldi pula berkata, kebanyakan pendaki ditemukan dengan luka melecur.
“Mereka ini dilapor berada dekat dengan kawah (ketika letusan berlaku)," katanya.
Status Marapi diletakkan pada tahap dua tertinggi sebagai langkah berjaga-jaga dan pihak berkuasa telah menguatkuasakan zon larangan tiga kilometer (km) di sekitar kawahnya.
Kepulauan Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik dengan pertemuan plat benua menyebabkan aktiviti gunung berapi dan seismik yang tinggi.
Negara Asia Tenggara itu mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif. -AFP