HAMILTON, 30 Disember - Seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menegaskan semula penghormatan terhadap kedaulatan, integriti wilayah dan perpaduan Somalia yang dijamin di bawah Resolusi Majlis Keselamatan 2809 (UNSC), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Khaled Khiari, Penolong Setiausaha Agung PBB bagi Asia Barat, Asia dan Pasifik di Jabatan Hal Ehwal Politik dan Pembinaan Keamanan serta Operasi Keamanan, memberikan taklimat mengenai keputusan terbaharu Israel untuk mengiktiraf wilayah Somaliland yang memisahkan diri dari Somalia sebagai sebuah negara merdeka dalam satu sesi tergempar Majlis Keselamatan.
"Saya ingin mengingatkan, sepertimana Setiausaha Agung, bahawa Majlis Keselamatan telah berulang kali menegaskan penghormatan terhadap kedaulatan, integriti wilayah, kemerdekaan politik dan perpaduan Somalia, seperti yang ditegaskan baru-baru ini dalam resolusi 2809 (2025) pada 23 Disember 2025," kata Khiari.
Sambil menyeru Somalia dan wilayah Somaliland untuk "terlibat dalam dialog yang aman dan membina," beliau juga menggesa mereka untuk menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Wakil Tetap Somalia ke PBB Abukar Dahir Osman, ketika bercakap bagi pihak negaranya dan kumpulan A3+ (Algeria, Guyana, dan Sierra Leone), berkata, "A3+ mengutuk sekeras-kerasnya serangan terang-terangan oleh Israel terhadap perpaduan dan integriti wilayah Somalia dengan mengiktiraf wilayah barat laut Somalia, yang dikenali sebagai Somaliland, sebagai entiti bebas sedangkan ia secara sah tidak mempunyai kapasiti untuk memeterai sebarang perjanjian atau pengiktirafan dengan negara lain."
"A3+ tidak akan menerima mahupun membiarkan penggunaan mana-mana wilayah secara haram, apatah lagi wilayah negara berdaulat yang merupakan anggota PBB, untuk menafikan hak menentukan nasib sendiri bagi rakyat yang telah menjadi mangsa jenayah terhadap kemanusiaan selama bertahun-tahun," katanya.
Menegaskan bahawa masa depan rakyat Palestin atau Somalia tidak boleh "dijadikan sebagai bahan tawar-menawar," Osman berkata, tindakan Israel bukan sahaja mewujudkan satu duluan (precedent) yang berbahaya, malah mendatangkan ancaman serius kepada keamanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa.
Timbalan Wakil Tetap United Kingdom ke PBB James Kariuki, menegaskan bahawa negaranya tidak mengiktiraf wilayah Somalia yang terpisah dan mengulangi sokongan terhadap kedaulatan, integriti wilayah, kemerdekaan politik dan perpaduan Somalia.
"Kami kesal dengan sebarang tindakan yang berisiko menjejaskan keamanan dan keselamatan di rantau ini," tambahnya.
Sementara itu Timbalan Wakil Tetap China ke PBB Sun Lei, menzahirkan sokongan terhadap gesaan sesi tergempar mengenai pengiktirafan Israel itu.
"Ini telah meningkatkan lagi ketegangan di Tanduk Afrika, serta menarik kritikan dan kecaman hebat daripada organisasi serantau," tegas beliau.
Menyampaikan kebimbangan mendalam terhadap tindakan Tel Aviv, Sun juga memberitahu, bahawa Somaliland adalah bahagian penting dalam wilayah Somalia.
"China teguh menyokong kedaulatan, perpaduan dan integriti wilayah Somalia serta menentang sebarang tindakan untuk memecahbelahkan wilayahnya," ulas Sun.
Kaunselor kanan Rusia ke PBB, Dina Gilmutdinova pula menyuarakan sentimen majoriti ahli Majlis Keselamatan dan menyatakan kebimbangan mendalam terhadap langkah Israel tersebut.
"Kami juga ingin menekankan bahawa keputusan seperti yang diambil oleh kabinet Israel berisiko merumitkan lagi usaha Mogadishu dan rakan kongsinya untuk memerangi al-Shabaab," katanya.
Timbalan Wakil Tetap Pakistan ke PBB Muhammad Usman Iqbal Jadoon, turut mengutuk keras tindakan Israel dan berkata, ia adalah serangan langsung terhadap sempadan Somalia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa.
Wakil dari Denmark dan Greece turut menyuarakan sokongan terhadap Somalia, selari dengan majoriti besar ahli Majlis Keselamatan yang lain.- BERNAMA-ANADOLU