DHAKA, 30 Disember – Bekas perdana menteri Bangladesh, Khaleda Zia, meninggal dunia hari ini pada usia 80 tahun selepas menghidap penyakit berpanjangan.
"Pengerusi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang juga perdana menteri wanita pertama negara, Begum Khaleda Zia, telah kembali ke rahmatullah pada pukul 6:00 pagi (0000 GMT), sejurus selepas menunaikan solat Subuh," menurut kenyataan parti itu.
BNP memohon orang ramai mendoakan keampunan serta kesejahteraan roh Allahyarham.
Ketua media BNP, Moudud Alamgir Pavel, turut mengesahkan kematian Khaleda Zia kepada AFP.
Walaupun berdepan masalah kesihatan berpanjangan dan pernah dipenjarakan, Khaleda Zia pada November lalu menyatakan hasrat untuk kembali berkempen dalam pilihan raya umum yang dijadualkan berlangsung pada Februari 2026, iaitu pilihan raya pertama sejak kebangkitan rakyat yang menumbangkan seteru politiknya, Sheikh Hasina, tahun lalu.
Parti BNP pimpinan Khaleda Zia dilihat sebagai calon utama untuk memenangi pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun, pada akhir November, beliau dikejarkan ke hospital selepas keadaan kesihatannya merosot akibat pelbagai komplikasi, meskipun menerima rawatan rapi daripada pasukan perubatan.
Pada hari-hari terakhirnya, ketua kerajaan sementara Bangladesh, Muhammad Yunus, menyeru rakyat negara itu agar mendoakan Khaleda Zia, sambil menyifatkannya sebagai "sumber inspirasi besar kepada negara".
Allahyarham dipenjarakan pada 2018 atas tuduhan rasuah di bawah pentadbiran Sheikh Hasina, yang turut menghalangnya daripada mendapatkan rawatan perubatan di luar negara, namun dibebaskan tahun lalu, tidak lama selepas Hasina digulingkan daripada kuasa.
Terdahulu, terdapat perancangan untuk menerbangkannya ke London menggunakan pesawat ambulans khas bagi mendapatkan rawatan lanjut, namun keadaan kesihatannya ketika itu tidak mengizinkan.
Sementara itu, anak lelaki allahyarham, Tarique Rahman, tokoh politik utama BNP, yang baru pulang ke Bangladesh minggu lalu selepas 17 tahun dalam buangan sukarela, disambut oleh ribuan penyokong.
Tarique Rahman dijangka mengetuai BNP menghadapi pilihan raya umum pada 12 Februari 2026, dan berkemungkinan dicalonkan sebagai perdana menteri sekiranya BNP memperoleh kemenangan majoriti.- AFP