fb fb fb fb fb

Gabungan diketuai Arab Saudi sasar penghantaran senjata dari UAE di Yaman

Foto AFP

RIYADH, 30 Disember - Gabungan ketenteraan Yaman yang diketuai Arab Saudi memaklumkan ia telah menyasarkan sejumlah besar senjata dan kenderaan tempur yang dibongkar di Yaman daripada kapal-kapal yang datang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Tindakan ketenteraan itu dilaksanakan selepas dua kapal didapati mematikan sistem penjejakan dan memunggah senjata bagi menyokong pasukan Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong UAE," menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Pakatan itu sebelum ini memberi amaran akan menyokong kerajaan Yaman dalam sebarang konfrontasi ketenteraan dengan kumpulan pemisah, serta menggesa mereka berundur secara aman daripada wilayah yang baru dikuasai.

SPA melaporkan serangan udara dilancarkan ke atas senjata dan kenderaan tempur yang telah dibongkar di pelabuhan Al-Mukalla, dengan menegaskan operasi tersebut mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan tidak mengakibatkan kerosakan sampingan.

Kapal-kapal berkenaan dilaporkan tiba dari pelabuhan Fujairah di pantai timur UAE.

Perkembangan itu berlaku ketika kumpulan STC memperluas penguasaan di beberapa wilayah selatan Yaman, sekali gus meningkatkan ketegangan antara Arab Saudi dan UAE yang menyokong kumpulan berbeza dalam kerajaan Yaman.

Amerika Syarikat sebelum ini menggesa semua pihak agar meneruskan usaha diplomatik bagi meredakan konflik yang semakin memuncak.

Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman, turut menyeru pasukan STC supaya menyerahkan dua wilayah secara aman kepada kerajaan, sambil menegaskan keutamaan kepada kestabilan negara.

Konflik di Yaman berlarutan sejak 2014 apabila kumpulan Houthi yang disokong Iran menguasai ibu negara Sanaa dan sebahagian besar wilayah utara negara itu.- AFP

EZA YUSMAWATI YAACOP