BEIJING, 30 Disember - China meneruskan hari kedua latihan ketenteraan menggunakan peluru hidup di sekitar Taiwan hari ini, bertujuan mensimulasikan sekatan terhadap pelabuhan-pelabuhan utama pulau itu.
Latihan ketenteraan selama dua hari yang diberi nama 'Justice Mission 2025' itu bermula pada Isnin dan mendapat kecaman Taiwan, yang menyifatkannya sebagai satu bentuk intimidasi ketenteraan oleh Beijing.
Semalam, China melancarkan latihan ketenteraan skala besar itu di ruang udara sekitar Taiwan dan turut menyiarkan peta yang menunjukkan lima zon utama di sekitar Taiwan yang terlibat dalam latihan berkenaan, yang dijadualkan berakhir pada pukul 6:00 petang hari ini waktu tempatan.
Dalam pada itu Kementerian Pertahanan Taiwan mendedahkan, pihaknya mengesan 89 pesawat tentera China berhampiran perairannya pada Isnin, angka tertinggi direkodkan dalam sehari sejak Oktober 2024, selain 28 kapal perang dan kapal pengawal pantai.
Manakala wartawan AFP di Pingtan, sebuah pulau China yang paling hampir dengan Taiwan, melaporkan kelihatan dua pesawat pejuang terbang rendah di ruang udara serta sebuah kapal tentera China.
Terdahulu, Beijing memberi amaran bahawa 'kuasa luar' yang mempersenjatai Taiwan akan "menjerumuskan Selat Taiwan ke dalam situasi berbahaya menuju perang", tanpa menamakan mana-mana negara secara khusus.
"Sebarang usaha menghalang penyatuan China dengan Taiwan adalah ditakdirkan untuk gagal," menurut jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian.
Sementara itu, jurucakap tentera China, Shi Yi, berkata latihan minggu ini merupakan amaran tegas kepada kuasa pemisah 'kemerdekaan Taiwan' dan tindakan yang sah serta perlu untuk mempertahankan kedaulatan dan perpaduan negara China.- AFP