fb fb fb fb fb

SoftBank meterai perjanjian AI AS$4 bilion, ambil alih DigitalBridge

Foto AFP

TOKYO, 30 Disember - Gergasi kecerdasan buatan (AI), SoftBank dari Jepun mengumumkan pengambilalihan syarikat pelaburan pusat data Amerika Syarikat, DigitalBridge, dalam perjanjian bernilai kira-kira AS$4 bilion.

Sekali gus mengukuhkan langkah strategik pengasasnya, Masayoshi Son, untuk muncul sebagai pemain utama dalam sektor AI.

SoftBank dan DigitalBridge dalam kenyataan bersama memaklumkan pengambilalihan itu sejajar dengan misi syarikat untuk merealisasikan Artificial Super Intelligence (ASI) demi kemajuan sejagat, yang memerlukan pembangunan bukan sahaja teknologi AI, malah infrastruktur sokongan berskala global.

DigitalBridge yang berpangkalan di Florida mengurus aset infrastruktur bernilai sekitar AS$108 bilion, merangkumi pusat data dan menara telekomunikasi, dengan nilai perjanjian tersebut termasuk liabiliti hutang.

Langkah terbaharu itu dibuat ketika pelaburan besar-besaran dalam infrastruktur pengkomputeran AI terus meningkat di peringkat global, sekali gus menyaksikan lonjakan ketara nilai saham syarikat dalam sektor berkenaan, termasuk SoftBank.

Selepas berdepan kerugian besar sebelum ini, Masayoshi Son kini memberi tumpuan semula hala tuju kumpulan kepada AI, termasuk mengumpul dana baharu melalui penjualan pegangan dalam syarikat semikonduktor Amerika Syarikat, Nvidia.

SoftBank juga merupakan pelabur utama syarikat OpenAI dan bersama Oracle mengetuai projek Stargate bernilai AS$500 bilion bagi pembangunan infrastruktur AI, yang diumumkan awal tahun ini oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.- AFP

EZA YUSMAWATI YAACOP