ISTANBUL, 30 Disember - Satu kebakaran berlaku di sebuah kem pelarian Rohingya di Bangladesh pada Ahad malam menyebabkan kerosakan pada puluhan rumah, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan ringkas di platform media sosial, IOM memaklumkan bahawa pasukannya berada di lokasi sejak awal kejadian dan bertindak balas dengan segera, selain bekerjasama dengan sukarelawan pelarian serta Perkhidmatan Bomba Bangladesh bagi mengawal kebakaran berkenaan.
Agensi itu memuji tindakan pantas pihak terlibat yang berjaya menghalang api daripada merebak di kawasan padat penduduk berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, sekitar 20 hingga 25 buah kediaman musnah dalam kebakaran itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Bangladesh kini menempatkan lebih 1.2 juta pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, kebanyakannya melarikan diri dari Myanmar pada Ogos 2017 susulan operasi ketenteraan yang disifatkan kumpulan hak asasi manusia sebagai genosid. - BERNAMA-ANADOLU