fb fb fb fb fb

Lebih 250 dron di ruang udara Thailand, Kemboja dituduh langgar gencatan senjata

Video dirakam pada 15 Disember lalu menunjukkan kepulan asap kelihatan susulan seranga nudara yang didakwa tentera Thailand berdekatan sempadan Preah Netr Preah, wilayah Banteay Meanchey, Kemboja/Foto REUTERS

BANGKOK, 30 Disember – Tentera Thailand menuduh Kemboja melanggar perjanjian gencatan senjata yang baru dimeterai baru-baru ini pabila mengesan lebih 250 dron memasuki ruang udara Thailand.

Tentera Thailand menerusi kenyataan berkata lebih 250 kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dikesan terbang dari arah Kemboja dan menceroboh ruang udara kedaulatan Thailand pada malam Ahad.

Tindakan itu disifatkan sebagai satu provokasi serta pelanggaran langkah meredakan ketegangan yang dipersetujui dalam kenyataan bersama pada mesyuarat jawatankuasa sempadan dua hala, Sabtu lalu.

Susulan itu, tentera Thailand memberi amaran kemungkinan akan menilai semula keputusan membebaskan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan, bergantung kepada situasi dan tindakan pihak lawan.

Perjanjian gencatan senjata yang dimeterai sebelum ini turut menetapkan pembekuan pergerakan tentera, kerjasama usaha nyahperiuk api dan membanteras jenayah siber, serta membenarkan penduduk kembali ke kawasan sempadan.

Sementara itu, Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, menyifatkan isu dron berkenaan sebagai “perkara kecil” yang telah dibincangkan bersama dan dipersetujui untuk disiasat serta diselesaikan segera.

Namun Kementerian Pertahanan Kemboja kemudiannya menafikan sebarang penerbangan dron dilakukan oleh pihaknya selepas larangan dikeluarkan di kawasan sempadan.

Pertempuran yang tercetus awal bulan ini berpunca daripada pertikaian wilayah berlarutan, dengan kedua-dua pihak saling menuduh melancarkan serangan terlebih dahulu.

Insiden itu menyebabkan kematian tentera dan orang awam serta kerosakan infrastruktur di wilayah Siem Reap, Kemboja dan kawasan bersempadan di Thailand. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN