YANGON, 30 Disember - Junta Myanmar pada Selasa menuduh kumpulan pemberontak melakukan serangan kejam dan berniat jahat semasa proses pengundian berlangsung, dan sehari sebelum pilihan raya yang dikendalikan tentera, menyaksikan sekurang-kurangnya lima orang awam cedera akibat serangan dron, roket dan bom.
Tentera Myanmar yang melakukan rampasan kuasa pada 2021, membuka undian secara berperingkat pada Ahad, dalam pilihan raya sebulan dengan jaminan kononnya akan memulihkan kuasa kepada rakyat.
Penyokong demokrasi, diplomat Barat dan ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengecam pilihan raya itu, yang menyifatkan berlakunya penindasan terhadap pembangkang dan senarai calon yang dipenuhi sekutu tentera yang dijangka mengekalkan pemerintahan junta.
Kumpulan gerila pro-demokrasi dan tentera minoriti etnik yang menentang tentera berjanji untuk menyekat proses pilihan raya di kawasan kawalan mereka.
Menurut laporan media milik junta, Global New Light of Myanmar, antara Sabtu dan Ahad, pemberontak menyerang di 11 daripada 102 kawasan mengundi pada fasa pertama pilihan raya, menggunakan senjata buatan sendiri, roket dan dron, termasuk menyerang pusat pengundian, bangunan kerajaan dan penempatan awam.
Junta mendakwa kumpulan tersebut juga menghantar surat ugutan, menyebarkan maklumat palsu dan menghalang pengundi untuk membuang undi, dengan tujuan mengganggu proses pilihan raya, merosakkan pusat pengundian dan menakutkan pengundi.
Setakat ini keputusan rasmi belum diumumkan, namun Parti Kesatuan dan Pembangunan (USDP) yang pro-tentera mendakwa memimpin pilihan raya fasa pertama, dengan memenangi 82 daripada 102 kerusi Dewan Rendah yang dipertandingkan.
Pada pilihan raya 2020, USDP tewas kepada National League for Democracy pimpinan Aung San Suu Kyi, yang dibubarkan selepas rampasan kuasa dan tidak muncul dalam senarai calon kali ini.
Pemenang Hadiah Nobel itu kini masih ditahan.
Penganalisis melihat USDP sebagai proksi tentera yang mengekalkan kuasa angkatan bersenjata dalam bentuk kerajaan awam.- AFP