JAKARTA, 25 Mac- Sekurang-kurangnya sembilan warga Indonesia dilaporkan hilang dan lebih 200 orang telah dipindahkan selepas tanah runtuh dan banjir melanda kampung mereka di pulau Jawa.
Kampung Cibenda di Jawa Barat ditenggelami air selepas hujan lebat berterusan pada petang Ahad.
“Sembilan orang dilaporkan hilang dalam banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Bandung Barat (daerah) pada malam Ahad,” kata Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana negara itu, Abdul Muhari dalam satu kenyataan.
"Dua orang lagi mengalami kecederaan dan dibawa ke klinik", kata Muhari.
Pegawai tempatan Rega Wiguna memberitahu AFP, pasukan penyelamat telah tiba di kampung yang terpencil itu untuk mencari mangsa yang hilang.
Beliau berkata, kira-kira 250 penduduk tempatan dipindahkan ke dewan dan sekolah dijadikan tempat perlindungan sementara selepas berpuluh-puluh rumah rosak.
Indonesia terdedah kepada kejadian tanah runtuh terutama semasa musim hujan dan masalah itu menjadi lebih teruk di beberapa kawasan.
Aktiviti penebangan hutan dan hujan lebat yang berterusan menyebabkan banjir di beberapa kawasan di negara kepulauan itu.
Awal bulan ini, banjir kilat dan tanah runtuh di pulau Sumatera mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dengan masih ramai yang hilang.
Tanah runtuh dan banjir menghanyutkan berpuluh-puluh rumah dan memusnahkan sebuah hotel berhampiran Danau Toba di Sumatera pada Disember, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang.-AFP