fb fb fb fb fb

Adik lelaki didakwa bunuh kakak kandung di Skudai

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

JOHOR BAHRU, 31 Disember- Seorang lelaki warga Indonesia dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh kakak kandungnya minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkod selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Majistret Nurkhalida Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, Said Afendi, 24 tahun didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian Syarifah Ilawati, 42 tahun yang juga kakak kepada tertuduh di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, Johor Bahru, 24 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 18 Februari 2024 untuk sebutan semula kes, serta laporan kimia dan bedah siasat, manakala tiada jaminan ditawarkan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu. 

Isnin lalu, polis menahan dua warga asing berusia 24 dan 41 tahun disyaki terbabit dalam pembunuhan seorang wanita warga asing di sebuah rumah.

Dua warga asing itu iaitu tertuduh yang juga adik mangsa dan seorang wanita yang merupakan teman serumah mangsa, direman seminggu hingga hari ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM