Setiausaha Agung PBB janji bantu usaha pembinaan semula Syria

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres ketika sidang media bersama Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani / Foto REUTERS

DAMSYIK, 26 Julai – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berikrar membantu usaha pembinaan semula Syria ketika mengadakan lawatan rasmi ke Damsyik pada Sabtu, iaitu lawatan pertama oleh Setiausaha Agung PBB ke negara itu sejak 2009.

RINGKASAN BERITA AI
  • Guterres mengadakan pertemuan dengan Presiden Ahmed al-Sharaa; butiran pertemuan tidak didedahkan.
  • Guterres menegaskan Syria tidak dapat membina semula tanpa bantuan masyarakat antarabangsa.
  • Al-Shaibani menggesa EU dan masyarakat antarabangsa tingkatkan sokongan; perbincangan tumpu memperluas bantuan PBB dan menutup kem penempatan.

Lawatan terakhir pada 2009 itu berlangsung sebelum tercetusnya perang saudara Syria yang mengorbankan ratusan ribu nyawa serta menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Menurut agensi berita rasmi Syria, SANA, Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, menerima kunjungan Guterres di Istana Presiden di Damsyik, namun tiada butiran lanjut mengenai pertemuan itu didedahkan.

Guterres berkata, tiada negara mampu bangkit daripada konflik yang dahsyat dan membina semula negaranya tanpa bantuan masyarakat antarabangsa.

“Kita perlu membantu Syria dalam merealisasikan tekad dan keazamannya untuk membina semula negara ini,” katanya pada sidang media bersama Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani, selepas mengadakan pertemuan dengan al-Sharaa.

Sementara itu, al-Shaibani mengulangi gesaan Syria supaya masyarakat antarabangsa, khususnya Kesatuan Eropah (EU), meningkatkan sokongan kepada negara itu.

Beliau berkata, pertemuan antara Guterres dan al-Sharaa yang turut dihadirinya memberi tumpuan kepada usaha memperluas bantuan PBB bagi menyokong pembinaan semula Syria serta pelan kerajaan untuk menutup kem penempatan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.