Wayang pacak JAPEN dekati masyarakat, sampaikan maklumat kerajaan secara santai

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil (kanan) menghadiri Program Wayang Pacak anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) / Foto FB Fahmi Fadzil

ROMPIN, 26 Julai – Program Wayang Pacak anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) terus diperluaskan sebagai medium mendekati masyarakat menerusi tayangan filem, selain menjadi platform menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif serta dasar kerajaan kepada penduduk setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan santai membolehkan kerajaan berinteraksi lebih dekat dengan rakyat, kata Menteri Fahmi.
  • Program dilaksanakan secara berkala menggunakan aset JAPEN termasuk JAGO untuk mencapai komuniti di pelbagai lokasi.
  • Kerjasama dengan FINAS menjadikan Wayang Pacak medium hiburan efektif sambil menyampaikan maklumat awam.
  • Sambutan menggalakkan dari penduduk termasuk Orang Asli; maklum balas dikumpul dan disalurkan untuk tindakan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan berkenaan membolehkan kerajaan berinteraksi secara lebih dekat dengan rakyat dalam suasana santai dan mesra.

Menurut beliau, program itu dilaksanakan secara berkala dengan memanfaatkan aset serta kemudahan yang dimiliki JAPEN bagi memastikan penyampaian maklumat dapat diperluaskan ke pelbagai lokasi.

“Memang JAPEN memanfaatkan jentera seperti JAPEN Arena Penggerak Komuniti (JAGO) ini ke mana sahaja mereka pergi. Baru-baru ini dibawa ke Melaka, Pulau Pinang dan kali ini mereka datang ke Rompin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Wayang Pacak di Taman Saujana Rompin, di sini.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), sekali gus menjadi medium berkesan untuk menyantuni masyarakat menerusi aktiviti hiburan yang turut diselitkan penyampaian maklumat awam.

Sambutan terhadap program itu amat menggalakkan apabila penduduk tempatan termasuk masyarakat Orang Asli serta penduduk kampung berhampiran hadir meluangkan masa menyaksikan tayangan filem yang disediakan.

Pada masa sama, Datuk Seri Fahmi berharap penduduk khususnya golongan belia, kanak-kanak dan masyarakat sekitar Rompin dapat memanfaatkan peluang berinteraksi bersama JAPEN dengan mengemukakan pandangan serta maklum balas berkaitan isu setempat.

Katanya, setiap pandangan dan maklumat yang diterima akan dikumpulkan sebelum disalurkan kepada agensi serta pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan susulan.

Usaha itu, katanya, penting bagi memastikan keperluan dan kebajikan penduduk setempat terus diberi perhatian oleh pihak berkaitan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.