SRG terus bernyawa di Paris, singkir Geekay Esports dalam aksi sengit MSC 2026

Selangor Red Giants (SRG) dalam aksi saingan dengan Geekay Esports / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Selangor Red Giants (SRG) menghidupkan kembali peluang memburu kejuaraan Mobile Legends: Bang Bang Mid Season Cup (MSC) 2026 selepas menewaskan Geekay Esports 2-1 dalam aksi penyingkiran di Esports World Cup (EWC) yang berlangsung di Paris.

RINGKASAN BERITA AI
  • SRG menukar jungler: Muhammad Danish Fitri Razman (Unii) menggantikan Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys) untuk perkemaskan strategi.
  • Pasukan memerlukan masa menyesuaikan diri dengan meta berbeza, namun berjaya menyesuaikan diri dengan cepat di Paris.
  • Pembantu jurulatih tekankan kekal tenang, perbaiki komunikasi dan buat keputusan lebih baik untuk mengekalkan momentum.

Kemenangan itu memastikan wakil Malaysia kekal dalam saingan dan bakal berdepan ONIC Indonesia bagi merebut slot ke pusingan seterusnya.

SRG hadir dengan perubahan di posisi jungler apabila Muhammad Danish Fitri Razman atau Unii diturunkan menggantikan Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys) dalam usaha memperkemaskan strategi pasukan.

Pembantu Jurulatih SRG, Poon Kok Sing atau lebih dikenali sebagai OzoraVeki berkata, pasukannya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan meta dan corak permainan yang dipamerkan pasukan lain sepanjang kejohanan berlangsung di Paris Expo Porte de Versailles.

Menurutnya, persiapan SRG sebelum berlepas ke Paris berjalan lancar, namun situasi berbeza apabila kejohanan bermula apabila pasukan lawan membawa pendekatan permainan yang tidak sama seperti ketika sesi latihan.

“Kami membuat persiapan yang baik sebelum tiba di Paris. Namun apabila kejohanan bermula, kami mendapati meta dan corak permainan yang ditampilkan pasukan lain agak berbeza daripada apa yang kami lakukan sepanjang latihan.

“Perubahan terbesar ialah peluang untuk berlatih menentang pasukan di Paris yang menggunakan meta berbeza, dan kami berjaya menyesuaikan diri dengan cepat,” katanya.

Bagaimanapun, OzoraVeki menegaskan kemenangan tersebut tidak bermakna SRG sudah kembali ke tahap prestasi terbaik kerana masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, khususnya dari segi membuat keputusan ketika perlawanan.

Beliau berkata, pasukan itu perlu kekal tenang, memperkemaskan komunikasi serta terus menyesuaikan diri dengan perubahan bagi memastikan momentum positif dapat dikekalkan sepanjang kejohanan.

“Kami tidak mahu terlalu memikirkan tekanan untuk menang. Fokus kami adalah kepada proses, memperbaiki permainan dan meningkatkan prestasi dalam setiap perlawanan,” katanya.

SRG sebelum ini membuat persiapan rapi menjelang MSC 2026, namun berdepan cabaran apabila perlu menyesuaikan strategi dengan perubahan meta kompetitif yang pantas dalam kejohanan bertaraf antarabangsa itu.

Kemenangan ke atas Geekay Esports membuka semula laluan SRG untuk meneruskan kempen di Paris, dengan cabaran seterusnya menentang ONIC Indonesia dalam aksi penentuan tempat ke pusingan berikutnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.