
GEORGE TOWN, 25 Julai – Sejarah negara perlu diceritakan berdasarkan pengalaman, pengorbanan dan penderitaan rayat, bukan semata-mata berdasarkan perspektif atau naratif yang ditinggalkan bekas penjajah.
- Bina semula sejarah supaya relevan kepada masyarakat dan masa depan, bukan mengikut naratif bekas penjajah.
- Generasi muda perlu memahami sejarah secara mendalam supaya tidak melakukan tafsiran atau naratif yang salah.
- Tapak bersejarah mesti berfungsi sebagai ruang pendidikan memupuk perpaduan dan menghargai pengorbanan, bukan sekadar tarikan pelancongan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, generasi muda perlu memahami aspek sejarah secara mendalam agar tidak membuat tafsiran atau naratif salah.
“Kita boleh menghidupkan semula memori ini dan menggunakannya untuk menanam kefahaman serta mendedahkan generasi muda kepada sejarah kita sendiri.
“Kita perlu membina semula sejarah itu, bukan berdasarkan telunjuk bekas penjajah, tetapi supaya ia relevan kepada masyarakat dan masa depan kita,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Fort Cornwallis di Padang Kota, di sini hari ini.
Menurutnya, sejarah penjajahan, mengajar rakyat bahawa tanpa perpaduan dan kekuatan dalaman, nasib sesebuah negara boleh ditentukan oleh kuasa luar yang lebih mengutamakan kepentingan strategik mereka.
Justeru, beliau berkata generasi kini mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan keamanan negara, memperkukuh perpaduan antara kaum serta menghargai pengorbanan generasi terdahulu.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar turut memaklumkan, tapak sejarah perlu berfungsi sebagai ruang pendidikan untuk membantu generasi muda memahami nilai perpaduan, harga sebuah kemerdekaan serta penderitaan rakyat ketika negara dijajah, bukan sekadar menjadi tarikan pelancongan.
Lawatan ke tapak bersejarah tidak seharusnya hanya tertumpu kepada keindahan fizikalnya, sebaliknya perlu disertai penerangan yang mampu memberi kefahaman mengenai sejarah dan membentuk kesedaran terhadap masa depan negara.
“Saya syorkan kalau boleh, pastikan dalam setiap lawatan anak-anak muda ke kawasan ini, mereka didedahkan bukan sahaja kepada keindahannya, tetapi juga pengajaran mengenai harga perpaduan dan harga sebuah negara yang bebas serta merdeka,” katanya.
Beliau menekankan pemuliharaan Fort Cornwallis bukan bertujuan mengagungkan penjajahan, sebaliknya memberi peluang kepada masyarakat menelusuri sejarah pahit negara serta mengambil iktibar daripadanya.