Banjir Melaka: Penduduk terjejas di dua daerah meningkat 123 orang

Foto RTM

MELAKA, 25 Julai – Jumlah penduduk terjejas banjir di dua daerah di sini meningkat kepada 123 orang daripada 36 keluarga setakat pukul 8 malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga pusat pemindahan sementara dibuka bermula petang tadi di JAPERUN Ayer Kundor, SK Serkam Darat dan SK Bukit Tembakau.
  • PPS JAPERUN Ayer Kundor menempatkan 60 orang, SK Serkam Darat 37 dan SK Bukit Tembakau 26.
  • Sebanyak 20 kawasan di Melaka Tengah dan Jasin terjejas akibat hujan lebat; pendaftaran di PPS masih berlangsung.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, kesemua penduduk terjejas ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka bermula petang tadi.

PPS Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Kundor di daerah Melaka Tengah menempatkan 60 penduduk terjejas daripada 16 keluarga, manakala PPS Sekolah Kebangsaan Serkam Darat dan PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Tembakau di daerah Jasin masing-masing menempatkan 37 dan 26 penduduk terjejas.

Jumlah penduduk terjejas dijangka terus meningkat berikutan proses pendaftaran di PPS masih berlangsung.

Secara keseluruhan sebanyak 20 kawasan di Melaka Tengah dan Jasin terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

Antara kawasan terjejas di Melaka Tengah ialah Kampung Kolam Limbongan, Tanjung Kling dan Bukit Rambai.

Di Jasin pula, kawasan terlibat termasuk Kampung Pulai, Serkam dan Bukit Tembakau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.