“Ada orang ketuk pintu, tanya ada anak perempuan terjatuh bangunan tak?,” – Ibu mangsa

Nor Azera Ismail, ibu kepada kanak-kanak perempuan autistik yang terjatuh dari tingkat 13 di sebuah pangsapuri di Kuala Terengganu / Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 25 Julai – “Ada orang ketuk pintu utama dan bertanya ada anak perempuan yang terjatuh bangunan tak?”

RINGKASAN BERITA AI
  • Kanak-kanak perempuan autistik tujuh tahun jatuh dari tingkat 13, mayat ditemui di parkir tingkat enam.
  • Ibu bergegas ke bawah setelah menemui anaknya terbaring di kawasan parkir tingkat enam.
  • Keluarga dari Pasir Puteh menyewa inap desa untuk seminar dan bercadang pindah kerana tingkap tidak dipasang jeriji.
  • Bedah siasat sahkan punca kematian akibat kecederaan parah dari jatuh tinggi; polis nasihat elak spekulasi dan penyebaran gambar.

Demikian detik cemas yang dialami seorang ibu kepada kanak-kanak perempuan autistik berusia tujuh tahun yang terjatuh dari tingkat 13, Pangsapuri Ladang Tok Pelam di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi, Nor Azera Ismail, sedang mengemas pakaian dan bersiap-siap untuk mendaftar keluar dari inap desa berkenaan, sebelum mendengar penghuni lain mengetuk pintu utama dan memaklumkannya mengenai insiden terbabit.

Dia yang terkejut dengan berita itu bergegas memeriksa bilik dan mendapati anaknya, Nur Muazzam Aisya Mubi sudah terbaring di kawasan parkir tingkat enam di bangunan tersebut.

“Saya buka pintu utama, ada penghuni lain tanya ada anak perempuan yang jatuh bangunan tak? Saya kata ya Allah anak aku. Saya pergi ke tingkap ruang tamu dan membuka tingkap untuk melihat anak saya dari atas.

“Saya terus panggil ayah dia (mangsa), saya kata anak kita jatuh. Saya terus pakai tudung dan turun ke bawah,” ceritanya.

Nor Azera berkata dia sekeluarga dari Pasir Puteh Kelantan menyewa di inap desa itu bagi menghadiri seminar keusahawanan di sini.

Bagaimanapun dia sekeluarga nekad untuk berpindah ke inap desa lain yang lebih selamat pada pagi tadi, kerana bimbang dengan keselamatan anaknya selepas mendapati tingkap bilik tidak dipasang jeriji.

“Semalam saya mendapati tingkap tidak dipasang jeriji.

“Anak saya ada cuba membuka tingkap berkenaan sebelum kami tidur,” ceritanya lagi.

Nor Azera ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Mayat Nur Muazzam Aisya Mubi dijumpai orang awam di parkir tingkat enam / Foto RTM

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor memaklumkan hasil siasatan dan laporan bedah siasatan mendapati kecederaan parah akibat hentakan kuat selepas jatuh dari tempat tinggi menjadi punca kematian mangsa.

Azli turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebar gambar mangsa bagi menjaga sensitiviti keluarga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.